Thursday, November 16, 2006

Wudhuk & Permasalahannya

Suci daripada hadas kecil adalah salah satu syarat sah sembahyang. Hadas kecil itu antaranya ialah seperti membuang air kecil dan buang angin yakni kentut. Ini boleh disempurnakan melalui berwudhuk. Sebelum berwudhuk, pastikan dahulu air yang digunakan adalah air mutlak. Kemudahan air paip yang ada di rumah, masjid atau pejabat memudahkan mendapat air mutlak. Jika bertemu air di dalam takung, untuk berwudhuk di dalamnya, pastikan air itu melebihi sukatan 2 kolah. 2 kolah itu mengikut kiraan panjang x lebar x tinggi adalah dalam anggaran 62cm x 62cm x 65cm. Dengan syarat air itu tidak berubah sifat seperti bau, zat dan warnanya oleh sesuatu yang masuk ke dalamnya. Jika kurang 2 kolah, dan diyakini akan air itu, maka dibolehkan guna dengan syarat menggunakan penceduk seperti gayung.


 

Sebelum berwudhuk pastikan yang kita sudah membersihkan diri daripada najis. Jika sesudah berwudhuk, didapati najis pada anggota badan, maka ada tiga keadaan:

 

1) Jika najis itu ada pada tempat bukan anggota wudhuk, cukup dengan membersihkannya dan wudhuk itu masih sah.

 

2) Jika najis itu ada pada tempat anggota wudhuk dan diyakini ia berlaku selepas berwudhuk, cukup dengan membersihkannya. Wudhuk tadi itu masih sah.

 

3) Jika najis itu ada pada anggota wudhuk dan diyakini terlekat sebelum kita berwudhuk, bermakna wudhuk kita tidak sempurna, kerana najis itu menghalang daripada air sampai kepada permukaan kulit. Wudhuk kita menjadi tidak sah dan hendaklah dibersihkan dahulu najis tersebut sehingga tiada ia boleh menghalang air sampai kepada permukaan kulit. Kemudian ulangi berwudhuk.

 

Sebelum berwudhuk eloklah dipastikan bahawa anggota wudhuk kita itu bebas daripada sesuatu yang boleh menghalang air sampai kepada permukaan kulit anggota wudhuk. Yang dimaksudkan dengan anggota wudhuk ini ialah yang wajib kita lakukan padanya seperti muka. Contoh sesuatu yang boleh menghalang itu adalah gris, minyak dan plaster. Juga, eloklah dibersihkan dahulu mulut kita daripada segala kotoran terutama sisa makanan. Diingatkan sisa makanan jika kita menelannya sewaktu solat, maka batallah sembahyang kita. Kalau perlu minum air, maka minumlah air untuk melalukan sisa makanan itu ke dalam tekak.

 

Sebelum memulakan wudhuk,  sunnah bersugi sebagai memenuhi anjuran Rasulullah jikalau tidak memberatkan umat beliau nescaya beliau akan minta mereka bersugi setiap kali hendak berwudhuk. Dalam riwayat lain, dikatakan setiap kali hendak bersembahyang. Bersugi itu hendaklah menggunakan kayu sugi atau berus gigi, asalkan permukaannya kesat. Jika tidak mendapati keduanya, maka gunakanlah kain. Jika tiada satu apapun yang boleh digunakan untuk bersugi, maka gunakalan jari dan itu sudah dikira memadai.

 

Mulakanlah wudhuk dengan menyebut nama Allah. Rasulullah menyebut, tidak ada wudhuk bagi yang tidak menyebut nama Allah. Di sini Imam Syafie, menghukumkan sunat membaca Bismillah bilamana hendak bermula wudhuk. Yang dimaksudkan Rasulullah itu ialah tidak sempurna wudhuknya tetapi tidaklah sampai wudhuk itu tidak sah. Ulamak berpendapat lebih baik tidak ditinggalkan sebagai keluar daripada khilaf kerana ada ulamak lain yang mewajibkan membacanya. Malah, terlebih baik didahului daripadanya itu taawuz, mohon diminta perlindungan dengan Allah daripada gangguan syaitan.

 

Niat wudhuk itu adalah pada membasuh muka kerana membasuh muka itu tempat mulanya anggota wudhuk yang wajib. Jika berniat sebelum atau sesudah itu maka niat tersebut tidak dikira dan dianggap belum berniat. Niat termasuk di dalam rukun wudhuk. Namun, ulamak sepakat adalah sunat berniat di awal wudhuk sewaktu membasuh tangan lagi. Dan hendaklah berniat lagi sebagai memenuhi tuntutan wajibnya sewaktu membasuh muka.  

 

Niat “sahaja aku berwudhuk” atau “Sahaja aku melakukan fardhu wudhuk”. Kalau berniat mengangkat hadas atau menghilangkan hadas tidaklah menjadi kesalahan jika memang benar berlaku hadas kecil sebelum berwudhuk. Tetapi jika masih ada wudhuk dan kita hanya mahu memperbaharui wudhuk, niatkan berwudhuk sahaja dan bukan mengangkat hadas kecil. Sama juga kepada orang yang mempunyai penyakit kencing tak tus, tidak boleh niat mengangkat hadas kecil, kerana hadasnya tak terangkat disebabkan penyakitnya itu. Kenalah diniatkan berwudhuk untuk membolehkan solat fardhu. Sebelum itu  hendaklah balut dengan sesuatu yang bersifat sementara seperti kapas atau kain di tempat untuk menghalang kencing daripada keluar. Wuduk seperti ini hanya boleh untuk sekali solat fardhu sahaja. Untuk solat seterusnya kenalah dia mengambil wudhuk semula.

 

Perkara yang membatalkan wudhuk itu banyak dan diperincikan di sini:

 

Pertama, keluar sesuatu seperti najis daripada kemaluan samada qubul atau dubur. Terkecuali ialah air mani.

 

Kedua, buang angin yakni kentut. Jika dalam keadaan berwudhuk, tiba-tiba datang syak kentut atau tidak, pastikan samada memang terasa keluarnya angin itu atau memang ia ada bunyinya. Jika tiada seperti itu, maka dikira tidak kentut, dan wudhuk masih sah. Melainkan memang dia kentut, kemudian lupa, tetapi teringat semula bahawa dia jelas ada kentut, kenalah berwudhuk.

 

Ketiga, memegang salah satu daripada dua jenis kemaluan, qubul atau dubur dengan tapak tangan. Kemaluan itu tidak kira samada lelaki atau perempuan, kecil atau dewasa, sekalipun mayat. Tidak termasuk adalah kemaluan binatang. Yang dimaksudkan tapak tangan di sini adalah permukaan tapak tangan termasuk jarinya. Tidak batal wudhuk jika terkena belakang tapak tangan. Tidak batal juga jika ada lapik seperti kain di antaranya. Bagi orang yang berwudhuk, kemungkinan ada darurat sehingga memerlukan kemaluannya disentuh dengan permukaan tapak tangan tidaklah batal wudhuk jika disentuh oleh orang lain daripada kaum sejenisnya. Tetapi batal wudhuk jika dia sendiri menyentuh dengan permukaan tapak tangannya.

 

Keempat, mengikut mazhab Syafie, batal wudhuk jika kita menyentuh yang bukan mahram kita tanpa lapik yakni kulit bertemu kulit. Tidak batal wudhuk jika kita menyentuh mahram kita. Dicontohkan untuk lelaki di sini,  mahram disebabkan perkahwinan adalah seperti ibu mertua, anak tiri perempuan, mak tiri dan menantu.  Mahram disebabkan persusuan adalah seperti ibu susu dan juga saudara perempuan susuan. Mahram disebabkan nasab atau keturunan adalah seperti ibu dan yang di atasnya (nenek, moyang dsb), anak perempuan dan yang di bawahnya (cucu, cicit dsb), adik-beradik perempuan sebelah ibu dan sebelah bapa (makcik) dan juga adik beradik sendiri yang perempuan. Selain daripada mereka adalah batal wudhuk termasuk sepupu iaitu anak-anak perempuan kepada adik-beradik ibu atau bapa. Khusus dalam hal ini adalah batal wudhuk jika kita menyentuh isteri kita tanpa lapik yakni kulit bertemu kulit  Terkecuali jika menyentuh rambut atau kukunya. Bagi, kanak-kanak yang belum baligh tidaklak batal wudhuk bila kita menyentuhnya.

 

Kelima, tidur yang tidak tetap punggungnya seperti berbaring. Tidur yang tetap punggung seperti tidur dalam keadaan duduk, maka tidak membatalkan wudhuk.

 

Keenam, hilang akal seperti gila, pengsan, mabuk dan pitam yang bersangatan. 

 

Sebagai tambahan, jika kita ingin solat selepas mandi wajib, tidak perlu kepada wudhuk lagi kerana sebelum mandi wajib tadi kita sudahpun berwuduk untuk mengangkat hadas kecil. Namun, dalam proses mandi wajib itu tidak boleh berlaku sesuatu yang boleh membatalkan wudhuk. Jika tidak, hendaklah berwudhuk selepas mandi wajib. Timbul persoalan bagaimana keadaan jika tidak berwudhuk sebelum atau sesudahnya, maka memadailah dengan mandi wajib tadi untuk membolehkan solat. 

 

Posted by Editor at 01:53:59 | Permalink | Comments (1) »

Wednesday, November 15, 2006

Penghalang Wajib Sembahyang

Berikut adalah penghalang wajibnya sembahyang atas mereka:


 

  • Anak kecil belum baligh

 

  • Kafir Asli

 

  • Gila

 

  • Pengsan

 

  • Mabuk

 

  • Haid

 

  • Nifas

 

1)    Kalau salah satu penghalang itu terangkat atau hilang, sedang waktu sembahyang masih ada, sekadar cukup masa untuk mengangkat takbir, maka jatuh hukum wajib atasnya untuk sembahyang dalam waktu itu. Memandangkan waktu sangat sempit, maka wajib qadha. 

 

2)    Hukum asal untuk sembahyang dalam waktu ialah siapa yang mendapat satu rakaat sembahyangnya dalam waktu, maka sembahyang di anggap sembahyang tunai. Jika tidak mendapat satu rakaat di dalam waktu, sembahyangnya dikira sebagai qadha.

 

3)    Kalau penghalang tadi tidak terangkat atau tidak hilang sekadar waktu cukup takbir, maka tidak wajib qadha.

 

4)    Ketetapan qadha berbeza kalau penghalang hilang sekadar waktu cukup takbir pada solat yang boleh dijamakkan seperti hujung asar atau hujung isyak, maka wajib qadha solat yang sebelumnya iaitu, solat zohor atau solat maghrib.

 

5)    Orang yang  murtad, sembahyangnya tidak sah, tapi selama murtadnya wajib qadha sembahyang bila  sudah bertaubat.

 

6)    Bagi orang yang gila, kemudian murtad, maka dia wajib qadha sembahyangnya kerana gila itu hanya  satu rukhsah sahaja.

 

7)    Berbeza bagi orang yang haid, kemudian murtad, maka dia tidak wajib qadha sembahyangnya kerana pada haid itu sendiri ada larangan sembahyang.

 

8)     Orang kafir asli yang masuk Islam, tidak wajib qadha sembahyangnya sejak daripada baligh. Dikira wajib atasnya sembahyang bermula waktu dia masuk Islam. Ini mengambil ketetapan yang bilamana penghalang tidak terangkat dalam waktu sembahyang, maka luput baginya sembahyang itu tanpa wajib qadha.

 

9)    Orang mabuk yang disengajakan, wajib sembahyang bila sembuh, dan wajib juga mengadha sembahyang yang ditinggalkannya selama dia mabuk.  

 

 

Posted by Editor at 01:00:44 | Permalink | Comments (2)

Monday, November 13, 2006

Membaca Bismillah Sewaktu Wudhuk

BAB PADA MENYATAKAN MENGUCAP (بسم الله) WAKTU MENGAMBIL AIR SEMBAHYANG

 

Hadits yang kita petik dari kitab Bahrul Mazi ialah hadis ke-22, manakala hadits-hadits yang berkaitan atau setara dengannya daripada kitab Sunan Tarmidzi ialah hadits ke-25 dan 26. Hadits ini menyentuh satu perkara atau pekerjaan yang sunat di lakukan dalam pekerjaan wudhu’.

 

﴿ قال مصنف رحمه الله تعالى ونفعنا الله تعالى بعلومه آمين ﴾٢٢ - ﴿ عَنْ سَعِيدِ بْنِ زَيْد قَالَ: سَمِعتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: لاَ وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِاسْمَ اللهِ عَلَيْهِ. ﴾ Maksudnya:Daripada Said bin Zaid, katanya: Telah aku dengar Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda ia: “Tiada wudhu’ bagi orang yang tiada menyebut nama (الله) atasnya.”

 

Matan lengkap untuk hadits yang dipetik di atas di dalam Sunan Tarmidzi diberikan di bawah:

٢٠- بَابُ مَا جَاءَ في التَّسْمِيَةِ عِنْدَ الْوُضُوءِ.

٢٥- حَدَّثَنَا نَصْر بنُ عَلِيٍّ الْجَهْضَمِيُّ وَبِشْرُ بنُ مُعَاذٍ الْعَقَدِيُّ قَالاَ حَدَّثَنَا بِشْرُ بنُ المُفَضَّلِ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بنِ حَرْمَلَةَ عَنْ أَبِي ثِفَالٍ المُرِّيِّ عَنْ رَبَاحِ بن عَبْدِ الرَّحْمَن بنِ أَبِي سُفْيَانَ بن حُوَيْطِبٍ عَنْ جَدَّتِهِ عَنْ أَبِيهَا قَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:لا وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ.قَالَ: وَفي البَابِ عَنْ عَائِشَةَ، وَأَبِي سَعِيدٍ. وَأَبِي هُرَيْرَةَ، وَسَهْلٍ بن سَعْدٍ، وَأَنَسٍ.قَالَ أَبُو عِيسَى: قَالَ أَحْمَدُ بنُ حَنْبَلٍ: لاَ أَعْلَمُ في هَذَا البَابِ حَدِيثاً لَهُ إِسْنَادٌ جَيَّدٌ.وَقَالَ إِسْحَقُ: إِنْ تَرَكَ التَسْمِيَةَ عَامِداً أَعَادَ الوُضُوءَ، وَإِنْ كَانَ نَاسِياً أَوْ مُتَأَوِّلاً: أَجْزَأَهُ.قَالَ محَمَّدُ بنُ إِسْمَاعِيلَ: أَحْسَنُ شَيْءٍ في هَذَا الْبَابِ حَدِيثُ رَبَاحِ بنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ.فَالَ أَبُو عِيسَى: وَرَبَاحُ بنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ جَدَتِهِ عَنْ أَبِيهَا. وَأَبوهَا سعِيدُ بنُ زَيْدِ بنُ عَمْرِو بنُ نُفَيْلٍ.وَأَبُو ثِفَالٍ المُرِّيُّ اسْمُهُ “ثُمَامَةُ بنُ حُصَيْنٍ“.وَرَبَاحُ بنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ هُوَ “أَبُو بَكْرِ بن حُوَيْطِبٍ” مِنْهُمْ مَنْ رَوَى هَذَا الْحَدِيثَ، فَقَالَ: “عَنْ أَبِي بَكْرِ بن حُوَيْطِبٍ” فَنَسَبَهُ إِلى جَدِّهِ.‏٢٦- حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بنُ عَليٍ الْحُلُوانِيُّ حَدَّثَنَا يَزِيْدُ بنُ هَارُونَ عَنْ يَزِيْدَ بنِ عِيَاضٍ عَن أَبي ثِفَالٍ المُرِّيِّ عَنْ رَبَاحِ بن عَبْدِ الرَّحْمَنِ بن أَبي سُفْيَانَ بن حُوَيْطِبٍ عَنْ جَدَّتِهِ بِنْتِ سَعِيدِ بنِ زَيدٍ عَنْ أَبِيهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِثْلَهُ.‏

 

1. BAB PADA MENYATAKAN MENGUCAP (بسم الله) WAKTU MENGAMBIL AIR SEMBAHYANG. Ketahuilah kiranya ya saudaraku. Adalah mengucap (بسم الله) pada awal-awal mengambil air sembahyang itu setengah daripada jumlah yang sunat-sunat (ya’ni salah satu daripada perkara-perkara sunat yang amat baik dilakukan) pada mengambil air sembahyang pada mazhab kita Syafi’e. Dan kata setengah ‘ulama’ wajib.

 

2. ١٣٧ – MASALAH: Mengucap (بسم الله) pada wudhu’ dan haditsnya. Bahawasanya Abu ‘Isa At-Tirmidzi telah mengeluarkan hadits (yang berkaitan dengan soal) mengucap (بسم الله) pada waktu mengambil air sembahyang itu, demikian bunyinya::٢٢ - ﴿ عَنْ سَعِيدِ بْنِ زَيْد قَالَ: سَمِعتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: لاَ وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِاسْمَ اللهِ عَلَيْهِ. ( Ertinya dengan penjelasan )::Diriwayatkan daripada Sa’id bin Zaid bin ‘Amru bin Nufail, katanya: Telah aku dengar akan Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda ia::“Tiada wudhu’ bagi orang yang tiada menyebut nama (الله) atasnya, ya’ni tiada mu’tabar wudhu’
orang yang tiada menyebut (بسم الله الرحمن الرحيم) pada awal (ya’ni, permulaan) wudhu’nya.”( Kata Abu ‘Isa:: ) dan hadits pada bab ini ada riwayat daripada Siti ‘Aisyah, dan Abi Sa’id, dan Abi Hurairah, dan Sahl bin Sa’ad, dan Anas – (رضى الله عنهم أجمعين). Dan katanya, telah berkata (Imam) Ahmad bin Hanbal: “Tiada aku ketahui pada ini bab akan hadits yang ada baginya sanad-sanad yang elok.”

 

Saudara/i, hadits yang dinuqilkan ini, tidak bertaraf shahih, dan tidak juga bertaraf hasan yang mana boleh digunakan untuk penetapan hukum. Sememangnya hadits yang bukan bertaraf shahih atau hasan, iaitu dhoif atau lemah, tidak boleh digunakan untuk dalil dalam penetapan hukum. Ianya boleh digunakan untuk fadha’il amal (kelebihan untuk melakukan sesuatu amalan). Akan tetapi, terdapat qaedah di dalam ilmu hadits di mana hadits yang dhoif boleh ditingkatkan tarafnya menjadi hasan, yang membolehkannya menjadi dalil kepada penetapan sesuatu hukum agama.

 

3. ١٣٨ – MASALAH: Mengucap (بسم الله) pada wudhu’ dan hukumnya.Adalah mengucap (بسم الله) pada awal-awal mengambil air sembahyang itu sunat jua pada mazhab Syafi’e.

 

Jadi, inilah hukum mengucap Tasmiyah, iaitu (بسم الله الرحمن الرحيم), pada mazhab Syafi’e. Keterangannya boleh didapati di dalam kitab induk Al-Umm, sebagaimana yang diberikan di bawah.

 

(Kata Syafi’e ) di dalam Al-Umm, dan aku suka bagi seorang laki-laki bahawa menyebut nama Azza Wajal (عزوجل) pada permulaan wudhu’nya. Maka jika lupa ia (ya’ni, jika seseorang itu terlupa mengucapnya pada permulaan wudhu, maka), mengucaplah ia barang mana masa ia ingat dan jika ada ia dahulu daripada sempurna wudhu’nya (ya’ni apabila atau pada ketika ia teringat, dan waktunya teringat itu sebelum tamatnya atau sempurnaya pekerjaan wudhu’ yang dilakukannya). Dan meninggal ia (ya’ni jika ia tidak melakukan) akan mengucap (بسم الله) dengan lupa atau sengaja, (maka) tiada batal wudhu’nya, (ان شاء الله تعالى). (Kata Abu ‘Isa ) dan telah berkata Abu Ishaq, (ya’ni satu qaul lain oleh Abu Ishaq) jika meninggal seorang akan mengucap (بسم الله) itu dengan sengaja, hendaklah ia mengulang mengambil air sembahyang. Maka jika ada ia lupa atau ingat-ingat lupa, nescaya memadai akan dia (ya’ni memadai akan wudhu’nya itu).

 
Ya saudara/i, qaul ini iaitu qaul Abu Ishaq, yang mana mengkehendaki orang yang meninggalkan mengucap Tasmiyah, iaitu (بسم الله الرحمن الرحيم), pada permulaan mengambil air sembahyang dengan sengaja, hendaklah ia mengulangnya semula akan pekerjaan mengambil wudhu’ itu dengan memulakannya dengan Tasmiyah. Sebaliknya, jika ia lupa atau ingat-ingat lupa, tidak perlu baginya mengulang semula pekerjaan wudhu’nya itu kerana mengikut qaul ini ianya sudah memadai. Jadi, dari sini jelas dapat kita faham, bahawa Abu Ishaq juga berpegang bahawa mengucap Tasmiyah itu bukanlah wajib atau rukun kerana berdasarkan qaulnya itu jika seseorang itu terlupa, ia tidak perlu mengulang wudhu’nya. Jadi, ini berlainan jika mengucap Tasmiyah pada permulaan wudhu’ dipegang sebagai wajib atau rukun, yang mana jika terlupa sekalipun, hendaklah diulangi. (والله أعلم).

Qala Muallif (رحمه الله تعالى)::Kata Muhammad Al-Bukhari, bermula yang lebih ahsan (ya’ni yang lebih baik) suatu (hadits) pada ini bab ialah hadits Rabah Ibnu ‘Abdul Rahman.

 

Hadits Rabah Ibnu ‘Abdul Rahman itu ialah hadits ke-26 daripada kitab Sunan Tarmidzi, yang saya berikan di atas, dan saya tulis semula di bawah untuk rujukan kita. ٢٦- حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بنُ عَليٍ الْحُلُوانِيُّ حَدَّثَنَا يَزِيْدُ بنُ هَارُونَ عَنْ يَزِيْدَ بنِ عِيَاضٍ عَن أَبي ثِفَالٍ المُرِّيِّ عَنْ رَبَاحِ بن عَبْدِ الرَّحْمَنِ بن أَبي سُفْيَانَ بن حُوَيْطِبٍ عَنْ جَدَّتِهِ بِنْتِ سَعِيدِ بنِ زَيدٍ عَنْ أَبِيهَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مِثْلَهُ.

 

Tetapi ianya (iaitu Abu Abdullah Al-Bukhary) mengeluarkan di dalam shahihnya(.) (A)kan hadits (yang berkaitan dengan) bab ini ialah hadits yang tertentu jima’ dengan isteri mengucap (بسم الله), …… (bersambung) ……

 

Ya, saudara/i, hadits yang berkaitan dengan bab ini iaitu bab yang bersangkut paut dengan mengucap Tasmiyah ini, pada pengetahuan saya, ialah hadits berikut::حدثنا قتيبة بن سعيد: حدثنا جرير، عن منصور، عن سالم، عن كريب، عن ابن عباس رضي الله عنهما قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ﴿ لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَأْتِيَ أَهْلَهُ فَقَالَ: بِسْمِ اللهِ، اللَهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَإنَّهُ إِنْ يُقَدَّرْ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ فى ذلك، لَمْ يَضُرَّهُ الشَّيْطَانُ أَبَدًا (بخاري):: باب: السؤال بأسماء الله تعالى والاستعاذة بها.Maksudnya (lebih kurang, matan yang bertanda biru sahaja)::“Andaikan salah satu (seorang) dari kamu jika akan bersetubuh (jima’) dengan isterinya, maka membaca: “Dengan nama Allah, Ya Allah jauhkan kami dari syaithan, dan jauhkan syaithan dari rezki yang Tuhan berikan kepada kami”. Maka jika ditakdirkan mendapat anak dari jima’ (tersebut), tidak akan mudah diganggu oleh syaithan untuk selamanya.”

Qala Muallif (رحمه الله تعالى)::

…… (sambungan) ….. maka kerana didatangkannya demikian ialah mengambil jalan aula. Ya’ni sedangkan jima’ itu tiada munasabah rasanya disuruh mengucap (بسم الله) maka disuruh mengucap (بسم الله). Kalau begitu, pada wudhu’ (tentulah) lebih aula.

Posted by Editor at 09:59:46 | Permalink | Comments (1) »

Thursday, November 9, 2006

Waktu yang Dilarang Bersembahyang

(Petikan drp www.brunet.bn/gov/mufti) 

Sebagai mana dijelaskan oleh para ulama feqh berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa waktu-waktu tertentu yang ditegah melakukan sembahyang adalah seperti berikut: 

1.   Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyemai dengan lapan belas inci.

2.   Waktu Istiwa iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga gelincir matahari atau condong ke bawah. (Kecuali waktu istiwa pada hari Jumaat)

3.   Waktu ketika matahari berwarna kekuning-kuningan  sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk. 

Ketiga-tiga waktu ini ada disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Uqbah  bin ‘Amir al-Juhani katanya yang maksudnya : 

“Tiga waktu yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami bersembahyang  dan mengkebumikan mayat, iatu ketika  matahari naik sehingga tinggi, ketika matahari tegak (terpacak) sehingga gelincir dan ketika matahari hampir terbenam sehingga ia terbenam”

(Hadis riwayat Imam Muslim) 

Hadis  di atas melarang bersembahyang dan mengkebumikan mayat pada ketiga-tiga waktu berkekenaan. 

4.  Selepas sembahyang fardhu Subuh iaitu bagi orang yang telah menunaikan sembahyang Subuh sehingga terbit matahari. 

5.  Selepas sembahyang fardhu ‘Asar sehingga terbenamnya matahari. 

Diterangkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri yang mengatakan bahawa dia telah mendengar Rasulullah Sahallalahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya : 

“Tidak ada sembahyang selepas Subuh sehingga terbit matahari dan tidak ada sembahyang selepas Asar sehinggalah matahari terbenam”.

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hukum Menunaikan Sembahyang Pada Waktu-Waktu Tersebut 

Menurut pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘ie bahawa hukum melakukan sembahyang pada waktu-waktu yang tersebut itu adalah makruh tahrim. (Mughni al-Muhtaj :1/128, Fathul ‘Allam: 3/114,Fiqh al-Islami wa Adillatuh:1/520 )   

Makruh tahrim sebagai mana yang dijelaskan oleh pengarang Hasyiyah I‘anah Thalibin dan pengarang Fathul ‘Allam ialah  hukum yang sabit dengan dalil yang zhanni dan boleh dibuat takwilan (andaian), berbeza dengan haram yang mana ia sabit dengan dalil qath‘ie yang tidak boleh dibuat takwilan sama ada dalil itu daripada kitab atau sunnah atau ijma‘ ataupun qiyas. (I‘anah Tahalibin:1/197, Fathul ‘Allam: 3/114) 

Ada juga pendapat ulama yang mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh tanzih. Walau bagaimanapun sembahyang itu tetap tidak shah sebagaimana kata Al-Khatib Asy-Syarbini yang maknanya : 

“Dan tidak shah sembahyang itu jika kita berpendapat bahawasanya hukumnya adalah makruh tahrim, dan begitu juga pada pendapat yang mengatakan bahawa hukumnya adalah  karahah tanzih menurut pendapat yang ashah”

(Mughni al-Muhtaj:1/129)

Menyenghajakan Mengakhirkan Sembahyang Untuk Dilakukan Pada Waktu-Waktu Makruh

Berkata pengarang Fathul Mu‘in yang maknanya : 

“Maka jika seseorang itu bermaksud (menyenghajakan untuk mengakhirkan) sembahyang yang bukan empunya waktu di dalam waktu makruh (mengerjakan sembahyang)  kerana waktu itu adalah waktu makruh (sebagaimana yang telah diketahuinya)  maka hukumnya adalah haram secara mutlak dan sembahyang itu tidak shah walaupun (mengqadha) sembahyang yang telah luput waktunya sekalipun wajib di qadha dengan segera kerana dia telah menentang hukum syara’”

(I‘anah at-Thalibin:1/199-200) 

Berlainan halnya jika tujuan mengakhirkannya pada waktu makruh itu oleh sebab  yang tertentu iaitu bukan dengan niat melakukannya pada waktu itu kerana waktu itu adalah waktu makruh seperti mengerjakan sembahyang Janazah selepas sembahyang Asar kerana bertujuan supaya ramai jamaah bersembahyang, maka itu adalah diharuskan. (Lihat Hasyiah I‘anah Thalibin:1/200) 

Tidak termasuk di dalam larangan itu bagi sembahyang yang empunya waktu seperti mengakhirkan sembahyang Asar sehingga matahari kekuning-kuningan.

 

Apakah Dia Sembahyang-Sembahyang Yang Dilarang Melakukannya itu? 

Sembahyang-sembahyang yang ditegah melakukannya pada waktu-waktu yang lima  ialah sembahyang sunat Muthlaq iaitu sembahyang yang tiada mempunyai sebarang sebab seperti sembahyang sunat Tasbih dan juga sembahyang yang bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian. Sembahyang yang sebabnya terkemudian itu ialah seperti sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Istikharah. Sebab sembahyang sunat Ihram itu adalah kerana memakai Ihram, ia hanya berlaku setelah melaksanakan sembahyang Ihram dan Istikharah  itu pula kerana  membuat suatu perkara itu dimulakan selepas sembahyang Istikharah

Adapun sembahyang yang sebabnya terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan, maka harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu, tidak makruh dan tidak haram.  Misal sembahyang-sembahyang berkenaan ialah seperti sembahyang qadha sama ada fardhu atau sunat, sembahyang Janazah, sembahyang Istisqa’, sembahyang gerhana, sembahyang sunat yang dinazarkan, sembahyang Hari Raya, sembahyang Dhoha, sembahyang sunat Thawaf, sembahyang sunat Wudhu, sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, sujud Tilawah dan sujud Syukr dan lain-lain solat yang sebabnya terdahulu. 

Sembahyang-sembahyang ini harus untuk dilakukan pada lima-lima waktu dilarang melakukan sembahyang itu berdasarkan hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Ijma‘ para ulama. 

Menurut sebuah riwayat mengenai dengan peristiwa taubat Ka‘ab bin Malik bahawa dia telah melakukan sujud syukur selepas sembahyang fardhu Subuh sebelum lagi terbit matahari. 

Menurut sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam brsabda kepada Bilal yang maksudnya : 

Maksudnya: “Wahai Bilal! Cuba kau ceritakan kepadaku apakah perkerjaan yang paling kau harapkan daripada perkerjaan-perkerjaan yang telah kamu lakukan dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi kasut engkau di hadapanku di syurga?” Bilal berkata: “Aku tidak melakukan suatu perkerjaan yang paling aku harapkan selain aku tidak pernah bersuci sama ada malam atau siang kecuali untuk bersembahyang dengannya, sembahyang yang ditentukan oleh Allah untukku(sembahyang sunat)”

(Hadis riwayat al-Bukhari) 

Hadis di atas menjelaskan bahawa sujud syukur harus dilakukan pada waktu yang terlarang. Begitu juga dengan sembahyang sunat wudhu setelah bersuci dengan mengambil wudhu sebagaimana yang diamalkan oleh Bilal Radhiallahu ‘anhu tidak mengira siang atau malam. Ini kerana sebab sembahyang sunat wudhu dan sujud syukur itu adalah sebab yang terdahulu bukan terkemudian. Begitulah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang lain yang mempunyai sebab yang terdahulu.

 

Hikmah Pengharaman Sembahyang Pada Waktu-Waktu Berkenaan                            

Larangan mengerjakan sembahyang pada waktu-waktu berkenaan mempunyai hikmat yang tersendiri.  

Waktu ketika matahari terbit, maka terbitnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan, lalu orang kafir bersembahyang untuknya. Waktu ketika matahari tegak (rembang) pula, ketika itulah neraka Jahannam dimarakkan dan pintu-pintunya dibuka dan waktu ketika matahari hendak terbenam, maka terbenamnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan maka orang kafir bersembahyang untuknya. Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya : 

“Ketika matahari terbit akan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik, maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila  matahari tepat berada di tengah (waktu istiwa) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang seseorang mengerjakan sembahyang”

(Hadis riwayat An-Nasaie) 

Sabda Baginda lagi yang maksudnya : 

“Maka sesungguhnya neraka Jahannam di nyalakan pada waktu tengah hari( iaitu ketika matahari berada ditengah-tengah)”

(Hadis riwayat An-Nasaie)

Adapun hikmah melarang sembahyang sunat selepas sembahyang Subuh dan Asar bukanlah disebabkan sesuatu yang wujud dalam waktu itu, sebab dari segi hukum waktu itu dihabiskan dengan kewajipan waktu, yang lebih baik daripada sunat yang sebenarnya.  

 

Lain-Lain Waktu Yang Ditegah Melakukan Sembahyang 

Selain daripada waktu-waktu tegahan bersembahyang sebagaimana yang diperjelaskan di atas ada juga beberapa waktu dan keadaan yang juga dilarang sama ada hukumnya makruh atau haram sebagaimana yang akan dihuraikan dibawah ini.

1.Ketika hendak didirikan sembahyang fardhu. 

Makruh memulakan sembahyang  sunat selepas muadzdzin memulakan iqamah sembahyang, sama ada sembahyang itu sembahyang sunat rawatib, seperti sembahyang sunat Subuh, Zuhur dan lain-lain. Sama ada dia meyakini yang dia akan sempat mendapat satu rakaat bersama-sama imam atau tidak. (Lihat Al-Majmu:4/62)  

Dalil pendapat ini hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,  Baginda bersabda yang maksudnya : 

“Apabila sembahyang didirikan, maka tidak boleh dilakukan sembahyang kecuali sembahyang fardhu.”

(Hadis riwayat Imam Muslim)

Adapun hikmah larangan bersembahyang sunat selepas iqamah dilaungkan ialah supaya seseorang itu sempat bersembahyang fardhu bersama-sama dengan imam dari awalnya, iaitu dia boleh memulakan sembahyang beriringan dengan imam. Jika dia sibuk dengan sembahyang sunat, dia akan luput takbiratul ihram bersama-sama imam. Begitu juga dia akan luput beberapa amalan sembahyang yang menyempurnakan fardhu. Fardhu adalah lebih utama dijaga supaya sempurna. Hikmah lain pula ialah adanya larangan daripada menyalahi imam. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 1 / 532)

2.Ketika Khatib Berada Di Atas Mimbar 

Sebaik saja imam duduk di atas mimbar, maka ditegah dan dilarang daripada melakukan sembahyang. Tegahan ini adalah khusus kepada mereka yang telah sedia ada hadir di masjid sedang imam telahpun duduk di atas mimbar. 

Berkata imam An-Nawawi yang maknanya :

“Berkata Ash-hab Syafi‘ieyah: Apabila imam duduk di atas mimbar adalah ditegah untuk memulakan sembahyang sunat, mereka menaqal bahawa telah ijma‘ ulama dalam perkara ini. Dan berkata Pengarang al-Hawi: Apabila imam duduk di atas mimbar adalah haram ke atas orang yang berada di dalam masjid untuk memulakan sembahyang sunat, jika waktu itu dia sedang di dalam sembahyang hendaklah dia duduk (berhenti)”(Al-Majmu‘: 4/472).

Haram mendirikan sembahyang sama ada sembahyang itu sembahyang fardhu atau sunat sekalipun qadha sembahyang itu wajib disegerakan. Umapamanya orang yang meninggalkan sembahyang Subuh tanpa sebarang uzur, maka haram dia melakukan qadha Subuh itu sejak dari waktu duduknya imam itu sekalipun sebelum dia membacakan khutbah. Atau sekalipun dia yakin yang dia boleh selesai dan sempat mengikuti permulaan khutbah, sebagaimana yang telah dii‘timadkan oleh al-Ramli dalam Fatawanya. (Fathul ‘Allam 3/111). 

Jika dilakukannya sembahyang pada ketika itu, maka tidaklah sah sembahyangnya walaupun pada ketika imam itu membacakan doa untuk sultan ataupun ketika mengucapkan taraddhi (mengucapakan Radhiallahu ‘anh apabila disebut nama-nama para sahabat) kerana semua itu dikira ada hubungannya dengan khutbah Jumu‘ah. (Fathul ‘Allam:3/111) 

Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya yang maknanya : “Tidak shah (sembahyang fardhu seperti sembahyang qadha yang baru dia teringat ketika itu sekalipun wajib disegerakannya atau sembahyang sunat) dan juga tidak shah thawaf dan sujud tilawah atau syukur menurut yang zhahir pada keduanya (thawaf dan sujud tilawah atau sujud syukur) sebab mengambil illah para ulama mengapa diharamkan sembahyang (selepas imam  duduk di atas mimbar) kerana perbuatan itu adalah menghindar atau berpaling daripada (mendengar) khutbah secara keseluruhan”

(Hawasyi Syarwani wa Ibn Qasim ‘ala at-Tuhfah:2/457)

Sepertimana diharamkan mendirikan sembahyang pada waktu tersebut, adalah juga diharamkan memanjangkan sembahyangnya. Maka, sesiapa yang pada ketika  itu (ketika  imam duduk di atas mimbar)  dia sedang sembahyang, maka  wajib dia mentakhfif (meringankan atau menyingkatkan) sembahyangnya itu.(Fathul ‘Allam:3/112) 

Maksud mentakhfifkan sembahyang itu ialah memadai melakukan perkara-perkara yang rukun dan wajib dalam sembahyang sahaja. Ada juga pendapat lain yang mendifinisikan bahawa maksud takhfif itu ialah meninggalkan tathwil (memanjangkan) menurut ‘urf (kebiasaan) dan ini adalah pendapat yang awjah sepertimana dalam syarah ar Ramli. Menurut pandapat ini adalah makruh menambah daripada apa yang  wajib sebagaimana yang dikatakan oleh al-Kurdi sebagai menjaga pendapat yang pertama itu. (Fathul ‘Allam:3/113)  

As-Saiyid Abu Bakr menyebutkan sebagaimana yang dinaqalnya daripada perkataan Ibn Qasim bahawa sayugianya jika dia memulakan sembahyang fardhu sebelum imam (khatib) duduk di atas mimbar, dan khatib itu duduk sedang dia masih di dalam sembahyangnya, jika sembahyangnya itu tinggal dua rakaat maka harus dia melakukannya (menyempurnakannya) dan wajib dia mentakhfif. Jika banyak (lebih daripada dua rakaat), maka ditegah melakukannya dan wajib dia memberhentikannya atau menukarkannya menjadi sembahyang sunat dan memadailah  melakukannya dua rakaat  di samping wajib mentakfifkannya. (Fathul ‘Allam:3/113)  

Adapun orang yang baru memasuki masjid sedang imam telah duduk atau berada di atas mimbar membaca khutbah, maka harus yakni sunat bersembahyang selagi tidak ditakuti akan luput bertakbiratul ihram bersama-sama imam sebelum dia duduk. Begitu juga orang telah duduk kerana lupa atau jahil tetapi belum  panjang jarak masanya disunatkan  bersembahyang sunat dua rakaat dengan niat tahyiyatul masjid. (Hawasyi Syarwani wa Ibn Qasim ‘ala at-Tuhfah:2/457)  

Pada pendapat mazhab Hanafi dan mazhab Maliki pula, makruh hukumnya melakukan sembahyang tahiyatul masjid pada ketika itu sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang Rahmatul Ummah.(Fathul ‘Allam:3/113).

 

Sembahyang Zohor Sebelum Imam Selesai Menunaikan Sembahyang Jumu‘ah

Antara waktu yang boleh dikira sebagai waktu yang terlarang menunaikan sembahyang ialah pada waktu imam belum selesai mendirikan sembahyang Jumaat. Akan tetapi hukum ini khusus bagi sembahyang fardhu Zohor dan bagi orang yang meninggalkan sembahyang Jumu‘ah dengan sengaja tanpa uzur syara‘.

Imam an-Nawawi menjelaskan pendapat Ash-hab Syafi‘ieyah (Ulama-ulama mazhab Syaf‘ie) bahawa bagi sesiapa yang diwajibkan ke atasnya menunaikan sembahyang fardhu Jumu‘ah, maka tidak harus menunaikan sembahyang Zohor sebelum lagi dia terluput sembahyang Jumu‘ah itu tanpa ada sebarang khilaf mengenainya kerana yang dituntut ke atasnya ialah fardhu Jumu‘ah. Jika dia menunaikan sembahyang Zohor sebelum lagi luput dan imam belum lagi selesai menunaikan sembahyang Jumu‘ah itu, maka menurut qaul jadid sembahyang Zohornya itu adalah tidak shah. Para Ash-hab juga sepakat bahawa pendapat yang shahih ialah batal sembahyang Zohornya itu. (Lihat Al-Majmu‘:4/416)

Bahkan, menta’khir sembahyang Zohor sehingga selesai solat Jumu‘ah itu adalah disunatkan ke atas orang yang mempunyai keuzuran seperti orang sakit yang berkemungkinan akan hilang uzurnya itu sebelum lagi imam selesai mendirikan solat Jumu‘ah, misalnya dia sembuh atau pulih sehingga benar-benar putus harapannya bahwa dia tidak akan sempat hadir untuk mengikuti sembahyang Jumu‘ah. Kadar waktu itu menurut pendapat yang ashah ialah ketika imam mengangkat belakangnya untuk bangun daripada rukuknya pada rakaat yang kedua. (Lihat mughni al-Muhtaj: 1/279)

 

Pengecualian Larangan Bersembahyang Pada Waktu-Waktu Larangan Itu

Dalam mazhab Syafi‘ larangan bersembahyang pada waktu-waktu tersebut dikecualikan dalam keadaan-keadaan berikut:

1.Hari Jumaat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa mengerjakan sembahyang ketika matahari tegak (rembang) adalah makruh tahrim. Bagaimanapun ia dikecualikan pada hari Jumaat. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis daripada Qatadah daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya yang maksudnya:

“Bahawasanya Baginda membenci sembahyang pada tengahari (rembang) kecuali pada hari Jumaat, dan Baginda bersabda: “Sesunguhnya neraka Jahannam dimarakkan (pada saat itu) melainkan pada hari Jumaat”.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Pengkhususan itu pula adalah umum untuk orang yang hadir ke masjid atau tidak. Berkata Al-Khatib Asy-Syarbini:

Ertinya: “Dan pada pendapat yang ashah adalah harus bersembahyang pada waktu ini (waktu matahari tegak) sama ada dia hadir sembahyang Jumu‘ah ataupun tidak”.(Mughni al-Muhtaj:1/128)

2. Tanah Haram Mekah

Mengerjakan apa saja jenis sembahyang di tanah suci Mekah adalah diharuskan tanpa mengira sebarang waktu sekalipun pada waktu yang terlarang. Pendapat ini adalah yang shahih di dalam mazhab Syafi‘ie dan disokong dengan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda yang maksudnya :

“Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu melarang seseorang tawaf di rumah ini (Baitullah) dan bersembahyang pada bila-bila waktu yang dia sukai, malam atau siang”

(Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Lagipun bersembahyang di tanah haram Mekah ada tambahan kelebihan atau fadhilat, maka harus mengerjakan sembahyang di sana dalam apa-apa jua keadaan. (Mughni al-Muhtaj: 1/130)

Posted by Editor at 07:22:51 | Permalink | Comments (7)

Tuesday, November 7, 2006

Makmum Mufaraqah Dalam Solat

Pertanyaan:
Bagaimana sikap makmum bila mengetahui imam batal salatnya tetapi si imam sendiri tidak menyedarinya? Apakah makmum pun harus membatalkan salat atau terus mengikuti imam hingga salatnya selesai?

Jawaban:
Apabila makmum mengetahui bahwa imam batal salatnya, maka makmum tidak boleh mengikuti imam dan tidak boleh pula menghentikan salatnya, teruskan saja salat dengan niat memisahkan diri dari imam (niat mufarakah).

Sayid Abdurrahman Ba’alawi dalam kitabnya Bughyatul Mustarsyidin, halaman 74 telah mengutip fatwa pengarang kitab Kasyfun Niqab sebagai berikut:

Kesimpulannya, bahwa dalam niat berpisah dari imam itu terdapat lima hukum. Ada kalanya wajib, seperti bila makmum melihat imam melakukan hal-hal yang membatalkan salatnya.”

Syekh Zainuddin Al-Malibari dalam kitabnya Fathul Mu’in mengatakan:
“Niat Mufaraqah itu terkadang wajib, seperti makmum mengetahui ada hal-hal yang membatalkan salat imam, maka seketika itu pula ia wajib niat mufaraqah. Jika tidak berniat mufaraqah, maka salatnya batal sekalipun tidak mengikuti imam. Keputusan hukum ini telah disepakati oleh para ulama, sebagaimana yang diterangkan dalam kitab Al-Majmu.”

Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzah, Juz IV, halaman 256 mengatakan:

“Jika makmum salat di belakang imam yang berhadas dengan sebab junub atau buang air dan lainnya, sedangkan makmum mengetahui bahwa imamnya berhadas, maka ia berdosa karena perbuatannya itu, dan batal salatnya menurut ijma’. Jika ia tidak mengetahui imamnya berhadas selain dari salat Jumat, maka sah salatnya. Akan tetapi bila ia mengetahui bahwa imamnya itu berhadas di tengah-tengah salat, maka wajib baginya niat mufaraqah dengan imam dan menyempurnakan salatnya secara munfarid (sendirian) melanjutkan rakaat salatnya. Seandainya ia terus saja mengikuti imamnya sekalipun hanya sebentar atau ia tidak berniat mufaraqah, maka salatnya dinyatakan batal menurut kesepakatan ulama.” (Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzab, Juz IV, halaman 256)

Masalah ini terdapat pula pembahasannya dalam kitab-kitab Fiqih dibawah ini:

  • I’anatut Thalibin, Juz II halaman 10, karya Sayid Bakri Syatha Ad-Dimyathi Al-Makki.
  • Tarsyihul Mustafidin, halaman 104, karya Sayid ‘Alawi Ahmad As-Saqaf.
  • Al-Muhadzdzab, hamisy kitab Al-Majmu’, Juz IV halaman 256, karya Imam Abu Ishaq Asy-Syairazi

Diambil dari buku “Umat Bertanya Ulama Menjawab” tulisan dari KH.Drs.Ahmad Dimyathi Badruzzaman, dosen Fakultas Dakwah STIDA Al-Hamidiyah
Posted by Editor at 10:03:12 | Permalink | Comments (4)

Monday, November 6, 2006

Puasa Qadha & Nazar di Hari Puasa Sunat

(Petikan drp bahrusshofa.blogspot.com)

Pendapat Imam Syamsuddin ar-Ramli, ulama besar yang menjadi salah satu rujukan dan sandaran kita dalam fiqh mazhab Syafi`i. Imam yang diberi penghormatan dengan digelar sebagai Imam Syafi`i ash-Shoghir. Sungguh kitabnya “Nihayatul Muhtaj” bergandingan dengan “Tohfatul Muhtaj” sentiasa ditelaah dan dijadikan rujukan oleh para ulama kita untuk mengetahui akan aqwal yang dipakai dalam mazhab Syafi`i. Diceritakan bahawa setelah selesai dikarang akan kitab “Nihayah” ini, ianya dibaca di hadapan 400 orang ulama kenamaan Mesir dan mereka membahaskannya dan menyetujuinya. Inilah menyebabkan majoriti ulama Syafi`iyyah di Mesir berpendapat bahawa pendapat yang dipandang mu’tamad apabila berlaku khilaf antara Imam Ibnu Hajar dengan Imam ar-Ramli adalah pendapat Imam ar-Ramli terutama sekali yang terkandung dalam “Nihayatul Muhtaj“. Bagi kebanyakan ulama Hejaz dan Yaman serta juga Nusantara, maka mereka lebih mengutamakan pendapat Imam Ibnu Hajar atas sebab-sebab yang tertentu. Aku nak nukilkan perkataan Imamuna Syamsuddin ar-Ramli dalam “Nihayatul Muhtaj” juzuk 3 halaman 208 - 209 di mana dinyatakan:-

ولو صام في شوال قضاء او نذرا او غيرهما او في نحو يوم عاشوراء حصل له ثواب تطوعها كما افتى به الوالد رحمه الله تعالى تبعا للبارزي و الأصفوني و الناشري و الفقيه علي بن صالح الحضرامي و غيرهم، و لكن لا يحصل له الثواب الكامل

Dan kalau seseorang berpuasa qadha atau nadzar atau selain keduanya pada bulan Syawwal atau pada hari seumpama hari ‘Asyura`, hasil baginya pahala puasa sunnat hari tersebut sebagaimana difatwakan dia oleh al-Waalid rhm. (yakni ayahanda Imam ar-Ramli iaitu Imam Syihabuddin ar-Ramli rhm.) mengikut akan fatwa bagi Imam al-Baarazi, al-Ashfuuni, an-Naasyiri, al-Faqih ‘Ali bin Sholeh al-Hadhrami dan selain mereka, akan tetapi tidaklah hasil baginya pahala (puasa sunnat) yang sempurna.

Berbalik kepada kitab yang jodolnya “Sabilal Muhtadin“. Pada halaman 160 - 161, al-’Alim al-’Allaamah Mawlana Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari rhm. menyatakan:-

(Soal) Jika seorang puasa qadha atau nazar atau lainnya di dalam bulan Syawwal, adakah hasil baginya puasa sunnat Syawwal atau tiada ? (Jawab) Kata Syaikh Ramli di dalam Nihayah, hasil baginya pahala sunnat Syawwal jika tiada diqasadnya mengerjakan puasa sunnat Syawwal itu kemudiannya. Dan jika diqasadnya mengerjakan dia kemudian daripada umpama qadha itu, maka tiadalah hasil baginya pahala sunnat Syawwal kerana diqasadnya akan yang demikian itu jadi shoorif (pemalingan) daripada menghasilkan dia daripada puasa Syawwal, maka pada ketika itu hendaklah dikerjakannya puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha umpamanya, jika ada lagi tinggal bulan Syawwal dan jika tiada maka sunnat mengqadha dia pada bulan Dzil Qa`edah.

Syaikh Nik Mat ash-Shoghir, Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni dalam “al-Bahrul Wafi wan Nahrush Shofi” halaman 376 juga menukilkan seperti berikut:-

(Tanbih) Jika puasa ia di dalam bulan Syawwal itu akan puasa qadha` atau puasa nadzar atau lainnya, nescaya hasil baginya pahala sunnatnya atau puasa ia di dalam umpama hari ‘Asyura` akan puasa qadha atau puasa nadzar atau lainnya nescaya hasil baginya pahala sunnatnya, seperti yang difatwa oleh Syaikh Ramli Kabir (yakni ayahanda Imam ar-Ramli) mengikut ia akan Syaikh Baarazi dan Syaikh Ashfuuni dan Syaikh Naasyiri dan al-Faqih ‘Ali bin Sholih al-Hadhrami dan lainnya. Tetapi tidak hasil baginya pahala yang sempurna yang diperaturkan atas yang mathlub (yang dituntut dalam hadits Junjungan s.a.w.)…..

Penjelasan seterusnya aku ambil dari kitab “Fathul Mu`in” karangan al-’Alim al-’Allaamah Syaikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari, yang merupakan anak murid Imam Ibnu Hajar al-Haitami r.a. yang menyatakan:-

(Furu`) Berfatwa sekumpulan ulama mutakhir dengan hasilnya pahala (puasa) hari ‘Arafah dan hari-hari berikutnya (yakni hari-hari lain yang disunnatkan berpuasa seperti hari ‘Asyura`, hari Taasuu`aa`, puasa 6 hari bulan Syawwal dan sebagainya) dengan melaksanakan puasa fardhu (yakni puasa wajib seperti qadha Ramadhan, puasa nadzar atau puasa kaffarah) pada hari tersebut (yakni hari ‘Arafah dan lain-lain hari yang disunnatkan berpuasa seperti di atas). Fatwa ini bersalahan dengan apa yang di dalam kitab “Majmu`” (yakni pendapat ini tidak sejalan dengan pandangan Imam an-Nawawi dalam kitabnya itu), yang diikuti oleh Imam al-Asnawi. Di mana Imam an-Nawawi menyatakan: “Jika diniatkan akan kedua-duanya (yakni niat puasa qadha dan puasa sunnat), tidaklah terhasil baginya sesuatu apa pun daripada keduanya (yakni kedua-dua puasa yang diniatkannya itu tidak sah dan tidak memperolehi ganjaran). Guru kami (yakni Imam Ibnu Hajar) - seperti juga gurunya - menyatakan bahawa pendapat yang terpandang di sisinya (yakni yang zahir baginya) bahawa yang dimaksudkan ialah berlakunya puasa pada hari tersebut, maka ianya seperti sembahyang tahiyyatul masjid (di mana terhasil tahiyyatul masjid dengan melakukan apa jua sholat). Maka jika diniatkan dengan niat puasa sunnat, terhasilnya kedua-duanya (yakni kedua-dua yang diniatkan itu), jika tidak ( yakni tidak diniatkan puasa sunnat tersebut) maka tidaklah terhasil pahala puasa sunnat itu hanya gugur tuntutan puasa sunnat tersebut daripada dirinya.

Nukilan seterusnya dari kitab “I`anathuth Tholibin” hasyiah bagi “Fathul Mu`in“. Kitab ini adalah kitab fiqh kegemaranku karangan panutanku yang mulia Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi, murid Syaikhul Islam, Mufti Baladil Haram, Sidi Ahmad Zaini Dahlan. Sidi Syatha ad-Dimyathi ulama terbilang kelahiran baitun nubuwwah. Perkataan Sidi Syatha pada jilid 2 halaman 306 kitab tersebut:

(Furu`) iaitu pada menerangkan bahawasanya puasa pada hari-hari tertentu tersebut (yakni hari-hari yang dimuakkadkan berpuasa padanya seperti hari ‘Arafah dan sebagainya) boleh dimasukkan (yakni diikutsertakan niatnya) pada puasa selainnya (yakni puasa ‘Arafah dan puasa sunnat lain yang tertentu harinya itu boleh diikutserta niatnya dalam puasa wajib seperti qadha Ramadhan atau nadzar dan sebagainya)…… Keputusan fatwa yang tersebut (yakni fatwa sekumpulan ulama mutakhir itu) menyatakan bahawasanya apabila ada atas seseorang puasa qadha yang fardhu atau puasa nadzar yang dilakukannya( yakni dipuasakannya ) pada hari-hari tertentu tersebut itu(yakni hari yang dituntut berpuasa padanya), hasillah baginya puasa fardhu yang menjadi tanggungannya itu dan terhasil juga baginya pahala puasa hari-hari yang disunnatkan berpuasa itu. Dan zahir fatwa tersebut secara mutlak tidak membezakan bahawa untuk terhasilnya pahala itu dengan sama ada diniatkan puasa sunnat itu beserta dengan puasa fardhu (yakni diikutsertakan niat puasa sunnat kepada puasa fardhu) atau tidak (yakni hanya diniatkan puasa fardhu sahaja tanpa meniatkan puasa sunnat). Dan (makna zahir ini) bersalahan dengan qawl Imam Ibnu Hajar yang menyatakan bahawasanya tidak terhasil baginya sesuatu pahala melainkan jika diniatkannya, dan jika tidak diniatkan puasa sunnat tersebut, maka tidaklah terhasil baginya pahala sunnat itu hanya gugurlah tuntutan melakukan puasa sunnat itu sahaja (yakni tidaklah dihukumkan makruh jika dia tidak melakukan puasa sunnat yang dipandang muakkad jika pada harinya itu dia berpuasa fardhu seperti qadha atau nazar atau sebagainya)………(Maka berkata) iaitu Imam an-Nawawi dalam kitab “Majmu’“….(sekiranya diniatkan keduanya) iaitu puasa sunnat dan puasa fardhu ……(tidaklah terhasil baginya sesuatu apa pun daripada keduanya)……………… Dan berkata Imam al-Asnawi: Qiyasnya ialah bahawasanya jika dia tidak berniat untuk melakukan puasa sunnat tadi terhasillah baginya puasa fardhunya, dan jika sekiranya diniatkan kedua-duanya (yakni fadhu dan sunnat) tidaklah terhasil baginya sesuatu daripada keduanya…..

Seterusnya juga satu lagi hasyiah bagi “Fathul Mu`in” yang berjodol “Tarsyihul Mustafidin” karangan al-’Allaamah al-Faadhil al-Ustaadz al-Kaamil asy-Sayyid ‘Alawi bin asy-Sayyid Ahmad as-Saqqaf yang menyatakan pada halaman 171 seperti berikut:-

Pendapat sekumpulan ulama mutakhir ini adalah dianggap sebagai mu’tamad oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini, Imam Muhammad ar-Ramli dan ayahandanya. Maka puasa sunnat itu seperti sembahyang tahiyyatul masjid (yakni terhasil pahala tahiyyatul masjid (penghormatan kepada masjid) dengan apa jua jenis sembahyang), di sini berlaku khilaf antara mereka dengan Imam Ibnu Hajar di mana di sisi mereka terhasil pahala secara mutlak (yakni sama ada diniat atau tidak akan terhasil pahalanya) sedangkan di sisi Imam Ibnu Hajar tidak terhasil pahalanya jika tidak diniatkan.

Dalam “Bughyatul Mustarsyidin” karangan Mufti Hadhramaut, Sayyid ‘Abdur Rahman Ba ‘Alawi pada halaman 113 dinyatakan:-

Zahir hadits “dan diikut akan dia dengan 6 hari daripada Syawwal” dan hadits-hadits selainnya, tidak terhasil pahala puasa 6 tersebut jika diniatkan bersama puasa qadha Ramadhan, akan tetapi Imam Ibnu Hajar menerangkan dengan terhasilnya asal pahala puasa tersebut tetapi tidaklah kesempurnaannya (yakni pokok pahalanya terhasil tetapi pahalanya tidaklah sempurna) jika diniatkannya (yakni diniatkan bersama dengan puasa qadha itu akan niat puasa 6 tersebut), begitulah juga hukumnya dengan puasa-puasa lain seperti puasa hari ‘Arafah dan ‘Asyura`. Bahkan yang dirajihkan oleh Imam ar-Ramli, terhasil asal pahala sekalian puasa sunnat tersebut beserta dengan puasa fardhu, walaupun tidak diniatkan, selagi dia tidak memalingkan niatnya dengan satu pemalingan seperti diniatkannya qadha puasa Ramadhan dalam bulan Syawwal dan ada qashadnya untuk melakukan qadha puasa 6 tersebut dalam bulan Dzul Qaedah dan (tetap) disunnatkan berpuasa 6 walaupun dia berbuka (tidak berpuasa) dalam bulan Ramadhan (yakni tidak menyempurnakan puasanya dalam bulan Ramadhan). Dan yang dipegang oleh Imam Abu Makhramah, yang mengikut pendapat Imam as-Samhudi, bahawa tidak terhasil (yakni tidak sah) salah satu daripada keduanya jika diniatkan bersama seperti tidak sahnya niat sembahyang Zohor dengan sunnatnya, bahkan yang dirajihkan oleh Imam Abu Makhramah ialah tidak sah puasa 6 bagi sesiapa yang ada atasnya qadha puasa Ramadhan secara mutlak (yakni tanpa mengira sama ada puasa Ramadhan itu ditinggalkan dengan sengaja atau dengan uzur syar`ie).

الله أعلم

Posted by Editor at 03:57:03 | Permalink | Comments (4)

Sunday, November 5, 2006

Puasa Sunat Syawal

Puasa sunat syawal ini ada disabdakan oleh Rasulullah yang mana sesiapa berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti 6 hari di bulan syawal dia dianggap seperti berpuasa setahun (pahalanya). Hukumnya sunat muakkad yakni sangat dituntut. 
 


Falsafah berpuasa 

Mengapa dianjurkan berpuasa sunat syawal ini adalah menepati hadis Rasulullah bahawa di Akhirat nanti amalan pertama dihisab ialah solat fardhu. Maka jika ada kekurangan pada solat fardhu itu, Allah suruh malaikat melihat amalan solat sunatnya agar dapat menampung kekurangan tersebut. Begitulah kaedahnya untuk amalan-amalan lain seperti puasa.

 

Diharapkan dengan puasa sunat syawal ini, ia dapat menampung kekurangan yang ada pada puasa fardhu Ramadhan. Selain itu, ia adalah hadiah daripada Tuhan kepada mereka yang bersungguh-sungguh melakukan amalan lahir batin dalam bulan Ramadhan untuk meneruskannya di bulan Syawal melalui puasa tersebut.


Hari-hari berpuasa 

 

Adapun ulamak berbeza-beza dalam perkiraan harinya samada 6 hari itu diadakan secara terus-menerus atau boleh berselang seli. Yang lebih utama adalah diadakan secara terus menerus selama 6 hari. Yang utama juga dimulai pada 2 syawal dan diakhiri pada 7 syawal. Boleh juga dilakukan pada mana-mana hari bulan syawal dan boleh juga diakhirkan pada minggu terakhir syawal. Bagi mereka yang tidak dapat melakukannya secara terus, maka dianjurkan berpuasa pada hari-hari disunnahkan berpuasa seperti hari Isnin dan Khamis.


Berpuasa tetapi ada undangan / tetamu 

Bagi mereka yang berniat berpuasa kemudian mendapat undangan, maka boleh sahaja membatalkan puasanya dengan niat menghiburkan hati orang yang membuat jemputan. Maka atas puasanya sekadar itu, diberi pahala Tuhan, insyaAllah. Walhal, dia akan mendapat ganjaran Tuhan yang lebih besar dengan menggembirakan rakan atau saudaranya yang menjamunya. Sama juga bagi mereka yang didatangi tetamu, maka bagi yang berpuasa boleh sahaja berbuka. Kecuali sudah lewat petang dan waktu berbuka sudah hampir, boleh sahaja dia teruskan berpuasa.


Puasa sunat untuk wanita 

Bagi wanita-wanita timbul persoalan bagaimana hendak mengerjakan puasa sunat sedangkan masih ada puasa yang tertinggal yakni perlu diqadha. Ulama berselisih pendapat tentangnya, tapi ambillah pendapat yang menyatakan antara puasa qadha dan puasa sunat maka puasa qadha perlu diutamakan.  Tuntutan puasa qadha adalah fardhu dan fardhu lebih utama dari sunat. Bahkan ada hadis Rasulullah menyebut, “hutang kepada Allah lebih berhak dibayar”. Kata-kata Sayyidatina Aishah yang menyatakan bahawa beliau menggantikan puasa di bulan Syaaban itu tidak boleh dijadikan sandaran untuk melewat-lewatkan ganti puasa. Ada halangan tertentu yang membuatkan Sayyidatina Aishah berbuat begitu. Bagi kita yang tidak mempunyai sebarang halangan, maka eloklah bersegera.

 

Seperkara lagi, bagi wanita ambillah pendapat bahawa berpuasa qadha itu sudah memenuhi tuntutan berpuasa 6 hari di bulan syawal. Namun, tidak salah jika ada kekuatan, selepas berpuasa qadha, menambah 6 hari berpuasa sunat sebagai keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang menyatakan perlu berbuat demikian. Khusus juga untuk wanita yang bersuami, bilamana suami ada di sisinya maka perlu kepada keizinan suami untuk berpuasa sunat. Ini sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Perlu difahami, layanan kepada suami itu satu kewajiban dan lebih besar manfaatnya berbanding dengan puasa sunat. Bagi puasa qadha, walaupun ia fardhu, sebagai adab, suami perlu dimaklumkan juga.

 

 

Posted by Editor at 05:49:26 | Permalink | No Comments »

Saturday, November 4, 2006

Panduan Solat Jemaah

(Petikan drp http://mindaglobal.forumsplace.com)

Solat Berjemaah Mengikut Fikh Mazhab Syafie

1. Niat dalam solat

Makmum mestilah berniat makmum sewaktu takbiratul ihram. Batal solat jika dia sengaja mengikut imam tanpa niat makmum atas alasan tiada apa ikatan antara dia dengan imam. Kecuali kalaulah pengikutan dia dengan imam itu secara kebetulan, tidak batal solat, namun dia dikira solat sendirian (munfarid).

Makmum yang syak niatnya samada niat makmum atau tidak, jika dalam solat, batal solatnya. Kecuali dia belum mengikuti imam 1 rukun perbuatan, maka, dia boleh berniat menjadi makmum.

Imam pula, untuk mendapat kesempurnaan berjemaah, hendaklah berniat imam sewaktu takbiratul ihram jika dia ada makmum bersamanya seawal solat. Jika di pertengahan solat, baru ada makmum mengikutinya, maka dia berniat imam sesudah makmum selesai bertakbiratul ihram. Imam yang yang tidak berniat imam, sah sembahyangnya tapi tidak mendapat kelebihan berjemaah. Kecuali untuk solat jumaat, adalah wajib bagi seseorang berniat samada imam ataupun makmum.

2. Takbiratul ihram

Tidak boleh mendahului atau serentak dengan imam dalam takbiratul ihram. Makmum kena tunggu selesainya imam takbiratul ihram, barulah boleh dia takbiratul ihram. Jika tidak, batal solatnya.

Makmum yang takbiratul ihram dan mendapati imam sujud, boleh sahaja terus sujud tanpa mengucapkan takbiratul intiqalat.

Begitu juga, jika dia mendapati imam tasyahud awal atau tasyahud akhir, terus sahaja boleh duduk tasyahud tanpa perlu bertakbir intiqalat. Membaca tasyahud itu dibolehkan baginya.

Makmum yang takbiratul ihram kemudian mendapati imam telah memberi salam sebelum dia sempat duduk, maka dia hendaklah terus sahaja berdiri meneruskan solatnya. Tidak perlu baginya duduk lagi. Dia dikira mendapat jemaah.

3. Menunggu makmum

Adalah lebih afdhal berjemaah dengan orang yang sedikit di awal waktu daripada bersembahyang berjemaah dengan orang yang banyak di akhir waktu. Justeru, tidak sunnah mentakhirkan sembahyang sebab menanti akan orang yang banyak atau menanti orang-orang terpilih.

Sunnat bagi imam menanti di 2 tempat dalam sembahyangnya; Rukuk dan tasyahud akhir; akan orang yang dirasakan datang untuk mengikutnya. Jika dia menunggu untuk makmum mengikutnya masuk jemaah, dia boleh melebihkan tasbih dalam kiraan ganjil 5x, 7x sehingga kesempurnaannya ialah 11x. Jika tiada apa keuzuran seperti itu, makruh imam membaca tasbihnya dalam rukuk atau sujud lebih dari 3x.

4. Makmum Muwafik

Makmum muwafik (mengikut imam pada waktu kadar dia sempat membaca fatihah) yang dikira uzur hendaklah menyempurnakan bacaan fatihahnya tetapi tidak boleh ketinggalan dengan imam melebihi 3 rukun panjang (rukun perbuatan) sebagai syarat mendapat rakaat. Uzur di sini adalah seperti makmum itu bacaan fatihahnya lambat sedangkan imam membaca cepat. Atau makmum syak bacaan fatihahnya. Atau makmum sibuk membaca doa iftitah dan taawuz. Jika tiada uzur, tidak boleh ketinggalan dengan imam melebihi 2 rukun perbuatan atau sembahyangnya batal. Termasuk tiada uzur, ialah seperti makmum membaca surah atau makmum diam.

Makmum muwafik yang was-was dalam membaca fatihah tidak dikira sebagai uzur. Dia perlu menyelesaikan fatihahnya dan hanya dimaafkan sekadar 2 rukun (rukuk & i’tidal). Batal solat jika imam menuju sujud sedangkan dia masih lagi qiyam dan membaca fatihah.

5. Makmum Masbuk

Makmum masbuk (mengikut imam pada waktu kadar dia tidak sempat membaca fatihah) hendaklah terus membaca fatihah tanpa dilengahkan dengan doa iftitah dan taaawuz. Bila imam rukuk, dia hendaklah terus sahaja memberhentikan bacaan fatihahnya. Dia dikira mendapat rakaat, sekiranya dia mendapat rukuk itu bersama imam sekurang-kurangnya tukmaninah (sekadar waktu melafaz subhanAllah).

Sekiranya dia melengahkan bacaan fatihahnya atas sebab sibuk membaca doa iftitah atau taawuz atau diam disebabkan lupa atau mendengar bacaan imam: Maka bilamana imam rukuk, jika dia turut rukuk dengan sengaja, batal solatnya. Hendaklah disempurnakan bacaan fatihahnya dahulu sekadar banyak huruf yang telah dibacanya (doa iftitah atau taawuz) atau lama diamnya. Jika selesai membaca yang tersebut, didapati imam masih rukuk, dia dikira mendapat rakaat. Dia dikira tidak mendapat rakaat, jika imam sudah bangun daripada rukuk dan i’tidal. Justeru, hendaklah dia menyesuaikan diri (muwafakat) dengan terus i’tidal dan tidak wajib baginya rukuk. Jika imam menuju sujud, hendaklah dia terus menuju sujud juga, tidak wajib baginya rukuk dan i’tidal. Syarat baginya tidak boleh ketinggalan dengan imam 2 rukun perbuatan atau batal solat. Kecuali dia niat mufaqarah, maka dia boleh terus solat sendirian.

Makmum masbuk yang bilamana dia takbiratul ihram, didapatinya imam rukuk tanpa dia sempat membaca apa-apa dari Al-Fatihah, maka dikira mendapat rakaat sekiranya dia dapat rukuk bersama-sama imam sekadar tukmaninah atau kadar membaca subhanaAllah. Jika tidak, rakaat tersebut tidak dikira untuknya dan batal solatnya jika dia ketinggalan dengan imam 2 rukun perbuatan.

6. Memberi Salam

Makruh makmum serentak mengiringi Imam dalam memberi salam malah boleh menghilangkan kelebihan berjemaah. Tetapi batal solat jika mendahului imam dalam memberi salam.

Sunnat bagi orang yang masbuk, untuk menyelesaikan baki rakaatnya, bangun selepas imam selesai memberi kedua-dua salam. Bangunnya itu hendaklah disegerakan dan tidaklah boleh dia sengaja duduk dengan kadar yang lama. Bangunnya makmum itu hendaklah diucapkan takbir intiqalat jika dia bangun pada rakaat yang sepatutnya dia bangun daripada tasyahud awal. Jika tidak, tidak perlu baginya takbir intiqalat.

7. Mengulangi Solat (i’adah)

Sunnat bagi makmum mengulangi (i’adah) solatnya 1x atas alasan solat pertamanya itu adalah solat sendirian atau dia ingin menemani orang lain untuk solat berjemaah. Syaratnya solat kedua itu mestilah solat jemaah. Niatnya adalah sama seperti solat pertama.

Orang yang solat sendirian kemudian mendapati ada solat jemaah didirikan, ada 3 keadaan. Pertama, dia boleh berhenti terus daripada solat itu dan masuk jemaah. Kedua, Jika solat itu kurang daripada 2 rakaat, dia boleh sempurnakan solat 2 rakaat. Solat tersebut dikira solat sunat. Kemudian dia masuk jemaah. Ketiga, jika solat itu sudah melepasi 2 rakaat, dia boleh menyelesaikan solat fardhunya secara sendirian itu kemudian dia mengulangi solat dengan berjemaah.

8. Mendahului atau ketinggalan daripada Imam

Haram mendahului imam dengan sengaja satu rukun perbuatan dan batal jikan mendahului imam dengan 2 rukun perbuatan. Terkecuali bagi mereka yang jahil atau lupa.

Jika makmum mendahului imam satu rukun dengan terlupa atau tidak sengaja, dia boleh memilih untuk kembali kepada rukun sebelumnya atau tunggu sehingga imam berada pada rukun tersebut. Contoh jika makmum rukuk mendahului imam, maka bolehlah dia menunggu sehingga imam rukuk untuk kembali bersama-sama imam.

Bagi makmum yang ketinggalan tanpa uzur, tidak boleh melebihi 2 rukun perbuatan. Contoh, makmum masih berdiri, tetapi imam sudah sempurnakan 2 rukun perbuatan dan menuju sujud.

9. Memperingatkan kelupaan imam

Disunatkan bagi makmum memperingatkan kelupaan makmum dengan lelaki mengucapkan tasbih iaitu SubhanaAllah. Wanita pula hendaklah menepuk permukaan tapak tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri. Apabila imam masih meninggalkan sesuatu yang fardhu, atas keyakinannya yang dia tidak meninggalkannya, walau setelah makmum mengingatkannya, maka makmum boleh mufaraqah.

Jika imam meninggalkan sunat abaa’d, walau setelah makmum menegurnya, maka makmum tidak perlu mufaraqah. Boleh sahaja dia ikut imam. Contoh, imam meninggalkan tasyahud awal atas sebab lupa. Walaupun nanti imam tidak sujud sahwi, makmum boleh sujud sahwi selepas imam memberi salam kedua. Jika imam sujud sahwi, wajib makmum ikut sekali. Jika tidak batal sembahyang makmum. Bagi imam kena niat sujud sahwi. Bagi makmum tidak perlu berniat apa-apa kerana dia mengikut imam. Sama juga jika imam sujud tilawah.

10. Imam batal sembahyang

Imam yang batal sembahyang atas sebab seperti hadas, boleh diganti oleh makmum dengan syarat makmum belum melakukan satu rukun perbuatan. Pengganti imam kenalah menggantikan imam di tempat imam berhenti.

Haram bagi makmum bersembahyang di belakang orang yang berhadas jika dia mengetahui akan hadas orang tersebut. Samalah sekiranya orang tersebut mempunyai najis pada pakaiannya. Jika sedang sembahyang, makmum baru mengetahuinya, maka wajib bagi makmum mufaraqah. Jika setelah selesai solat, makmum baru mengetahuinya, sah solat makmum, tetapi tidak bagi imam tersebut.

11. Syarat menjadi Imam

Syarat menjadi imam mengikut urutan seperti berikut didahului oleh Faqih atau faham dalam bab hukum hakam agama terutama sembahyang. Jika terdapat dua orang yang sama faqih, maka dilihat pada elok bacaannya. Samada dia seorang qari ataupun tidak. Jika terdapat persamaan pada baik bacaannya, maka dilihat pula dari segi kewarakannya.

Batal sembahyang orang yang qari di belakang orang yang ummi jika dia mengetahui akan umminya orang tersebut. Jika di dalam sembahyang, baru dia mengetahuinya, maka hendaklah dia mufaraqah.

Jika di masjid, maka imam yang dilantik oleh pihak masjid berhak menjadi Imam. Juga, di rumah, tuan rumah lebih berhak menjadi imam, kecuali dia merasakan ada orang lain yang lebih berhak maka dia meminta orang lain menjadi imam. Namun, bagi pemimpin, dia lebih berhak menjadi makmum kepada anak-anak buahnya. Kecualilah dia menunjukkan orang lain menjadi imam.

Bagi imam yang berlainan mazhab, ia diukur mengikut iktiqad makmum. Jika makmum dapat mempastikan yang imam meninggalkan sesuatu yang diambil kira sah sembahyang dalam mazhab makmum, maka tidaklah sah mengikuti imam tersebut.

12. Saf Imam & Makmum

Saf hendaklah mengikut aturannya. Imam mestilah di hadapan makmum dan tidak boleh makmum terkehadapan daripada imam. Makmum lelaki di hadapan dan makmum perempuan di belakang lelaki. Tidak boleh saf perempuan berdiri terlalu jauh daripada saf lelaki yang akhir. Kalau ada 2 orang sahaja untuk berjemaah, makmum hendaklah berdiri di sebelah kanan imam, dekat betul dengan imam sekira-kira jari kelingking kaki kiri makmum bertemu tumit kaki kanan imam. Kalau ada 3 orang, maka 2 orang hendaklah berdiri betul-betul di tengah belakang imam dan jaraknya hendaklah dekat dengan imam kira-kira pada kadar 3 hasta. Begitu juga antara satu saf dengan saf lain di belakangnya. Jika terlalu jauh, maka hilanglah kesempurnaan berjemaah. Namun, ia dikira tetap sah solat.

Imam, sebelum mula mendirikan solat, hendaklah memastikan dahulu barisan saf untuk rapat dan lurus. Lurus itu mengikut tumit makmum. Manakala rapat itu bermaksud jari kelingking kaki makmum bertemu satu sama lain. Makmum pula janganlah hanya menjaga saf pada sebelum solat sahaja atau rakaat pertama sahaja. Sedangkan menjaga saf agar rapat dan lurus hendaklah berlaku pada setiap rakaat. Oleh yang demikian, sebaik bangun daripada sujud kedua untuk rakaat seterusnya, betulkanlah semula saf kita itu walaupun kita dalam keadaan solat.

Makmum yang seorang di kanan imam, bilamana datang seorang lain untuk menyertai jemaah, maka hendaklah dia berundur ke belakang selepas orang tersebut bertakbiratul ihram. Jika di belakangnya sempit, maka wajarlah imam tersebut yang mara ke hadapan.

Bagi seorang yang datang lewat kepada jemaah, hendaklah dia mengisi ruang kosong pada saf yang ada. Makruh baginya memulakan saf baru di belakang saf yang masih ada ruang kosong untuk diisi makmum. Jika ruang sudah penuh, dan dia seorang sahaja di belakang, bolehlah dia memulakan saf baru dengan bertakbiratul ihram, kemudian menarik seorang di saf hadapan menyertainya. Jika dia solat berseorangan di belakang, solatnya sah tetapi makruh baginya berbuat begitu serta kuranglah kesempurnaan jemaah baginya.

13. Solat Imam & Makmum

Harus bagi makmum yang solat penuh (tamam) mengikut imam yang solat qasar. Namun, imam hendaklah memberitahu sebelum solatnya yang dia solat qasar. Tidak menyalahi juga bagi makmum yang solat fardhu untuk mengikut imam yang solat sunat.

14. Jemaah baru

Bagi satu kumpulan yang masuk ke dalam masjid lalu mendapati imam dalam tasyahud akhir, afdhal bagi mereka untuk membuat jemaah baru selepas imam selesai salam. Dengan syarat waktu masih lapang dan tidak sempit.

 

Posted by Editor at 06:33:39 | Permalink | Comments (13)

Thursday, November 2, 2006

Perihal Bersugi

(Petikan drp www.roudhah.net

Tuan/puan dan saudara/i sekelian! Syarh kitab Bahrul Mazi kita kali ini akan membincangkan bab yang berkaitan dengan persoalan bersugi.

﴿ باب ما جاء فى السواك ﴾

﴿ قال مصنف رحمه الله تعالى ونفعنا الله تعالى بعلومه آمين ﴾(- Qala Mushannif Rahimahullah Ta’ala Wa Nafa’Anallah Taala Bi’ulumihi, Aamiin -)

 

١٩ - ﴿ عنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم لَولاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِى َلأَمَرْ تُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ ﴾ - أصح.Maksudnya:Daripada Abi Hurairah, katanya: telah bersabda Nabi (صلى الله عليه وسلم)::“Jikalau bukan kerana bahawa masyaqqah (ya’ni kepayahan atau kesukaran) atas umatku, nescaya aku suruh akan mereka itu dengan bersugi ketika tiap-tiap sembahyang.” - Ashoh.٢٠- ﴿ عَنْ زَيْدِ بنِ خَالِدٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لَوْلاَ أَنْ أَشُقُّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ، وَلأَخَّرْتُ صَلاَةَ الْعِشَاءِ إلى ثُلُثِ الَّليْلِ ﴾ - حسن صحيح.Maksudnya:Daripada Zaid bin Khalid, katanya: telah aku dengar Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda ia: “Jikalau bukan kerana bahawa masyaqqah (ya’ni kepayahan atau kesukaran) atas umatku, nescaya aku suruh akan mereka itu dengan bersugi waktu tiap-tiap sembahyang; dan aku taakhirkan sembahyang Isya’ hingga sepertiga malam.” – Hasan Shohih.

 

Matan lengkap untuk hadits yang dipetik di atas di dalam Sunan Tarmidzi diberikan di bawah:

١٨- بَابُ مَا جَاءَ في السِّوَاكِ.

٢٢- حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيبٍ، حَدَّثَنَا عَبْدَةُ بنُ سُلَيمانَ، عن مُحَمَّدِ بنِ عَمْروٍ، عن أَبي سَلَمَةَ، عن أَبي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَة.ٍقَالَ أَبُو عِيسَى: وَقَدْ رَوَى هَذَا الْحَدِيثَ مُحَمَّدُ بنُ إسْحَق، عَنْ مُحَمَّد بنِ إِبْرَاهِيمَ، عنْ أَبي سَلَمَةَ عن زَيْدِ بن خَالِدٍ عنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.وَحَدِيثُ أَبي سَلَمَةَ عَنْ أَبي هُرَيْرَةَ وَزَيْدِ بنِ خَالِدٍ عنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِلاَهُمَا عِنْدِي صَحِيحٌ، وَلأَنَّهُ قَدْ رُوِيَ منْ غَيْرِ وَجْهٍ، عن أَبي هُرَيْرَةَ عنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذَا الحَدِيثُ. وَحَدِيثُ أَبي هُرَيْرَةَ إِنَّمَا صَحَّ لأَنَّهُ قَدْ رُوِيَ من غَيْرِ وَجْهِ.وَأَمَّا مُحَمَّدُ بنُ إِسْمَاعِيلَ فَزَعَمَ أَنَّ حَدِيثَ أَبي سَلَمَةَ عَنْ زَيْدِ بنِ خَالِدٍ أَصَحُّ.قَالَ أَبُو عِيسَى: وَفي البَابِ عَنْ أَبي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ، وَعَلِيٍّ، وَعَائِشَةَ، وَابنِ عَبَّاسٍ، وَحُذَيفَةَ، وَزَيْدِ بنِ خَالِدٍ، وَأَنَسٍ، وَعَبْدُ اللهِ بنِ عَمْروٍ، وَابنِ عُمَرَ، وَأُمِّ حَبِيبَةَ، وَأَبي أُمَامَةَ، وَأَبي أَيُّوبَ، وَتَمَّامِ بنِ عَبَّاسٍ، وَعَبْدِ اللهِ بنِ حَنْظَلَةَ، وَأُمِّ سَلَمَةَ وَوَاثِلةَ بنِ الأَسْقَعِ وَأَبي مُوسَى.‏٢٣- حَدَّثَنَا هَنَّادٌ حَدَّثَنَا عَبْدةُ بنُ سُلَيمَان عَنْ مُحَمَّدِ بن إِسْحَقَ عَنْ مُحَمَّد بنِ إِبْرَاهِيمَ عَنْ أَبي سَلَمَةَ عَنْ زَيْدِ بنِ خَالِدٍ الجُهَنيِّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:لَوْلاَ أَنْ أَشُقُّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ، وَلأَخَّرْتُ صَلاَةَ الْعِشَاءِ إلى ثُلُثِ الَّليْلِ.قَالَ: فَكَانَ زَيْدُ بنُ خَالِدٍ يَشْهَدُ الصَّلَوَاتِ في المَسْجِدِ وَسِوَاكُهُ عَلَى أُذُنهِ مَوْضِعَ الْقَلَمِ مِنْ أُذُنِ الْكَاتِبِ، لاَ يَقُومُ إلى الصَّلاَةِ إِلاَّ اسْتَنَّ ثُمَّ رَدَّهُ إلى مَوْضِعِهِ.قَالَ أَبُو عِيسَى: هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.‏

 

1. ١١٧ – BAB: YANG TELAH DATANG IA PADA MENYATAKAN BERSUGI.( Ketahuilah kiranya ya saudaraku ) bermula makna bersugi itu pada ishthilah (اصطلاح) ialah memakai sepotong umpama kayu arak pada gigi kerana menghilangkan kuning-kuning gigi (tahinya), dan lain daripadanya. Bukanlah maknanya (ya’ni makna bersugi itu) ambil berus taruh powder di atasnya kemudian sentalkan kepada gigi barang mana waktu (ya’ni bila suka atau bila dikehendaki). Maka yang demikian itu bukannya masuk di dalam makna ini (ya’ni bukan termasuk dalam makna bersugi), bahkan terbilang ia daripada perbuatan yang berasal daripada Nasrani.


2. ١١٨ – MASALAH: Bersugi dan haditsnya.Sungguhnya telah dikeluarkan oleh Abu Isa At-Tirmidzi akan hadits bersugi itu di dalam Shahih-nya (iaitu Sunan atau Shahih Tarmidzi) dengan dua riwayat. Pertamanya::١٩ - ﴿ عنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم لَولاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِى َلأَمَرْ تُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ ﴾( Ertinya dengan penjelasan )::Diriwayatkan daripada Abi Hurairah (رضى الله عنه) – katanya: Telah bersabda Rasulullah (صلى الله عليه وسلم): “Jikalau bukan kerana masyaqqah, ya’ni jikalau aku pandang dan aku fikirkan keberatan atas umatku mengamalkan sugi pada tiap-tiap kali sembahyang atau pada tiap-tiap waktunya, nescaya ku suruh akan sebagai suruh wajib ke atas mereka itu bersugi pada tiap-tiap sembahyang. Tetapi, oleh kerana kasihanku dengan umatku, maka tiadalah ku berati akan mereka itu.” Kata Abu ‘Isa, bermula hadits ini lebih Ashoh daripada hadits riwayat Zaid bin Khalid (iaitu hadits yang ke-20 di atas, yang kita nuqilkan sekali lagi di bawah.)Wajah yang kedua::٢٠- ﴿ عَنْ زَيْدِ بنِ خَالِدٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لَوْلاَ أَنْ أَشُقُّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ، وَلأَخَّرْتُ صَلاَةَ الْعِشَاءِ إلى ثُلُثِ الَّليْلِ ﴾ ( Ertinya dengan penjelasan )::Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid, katanya:Telah aku dengar Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda ia:“Jikalau bukan kerana masyaqqah ke atas umatku, nescaya aku suruh akan mereka itu dengan bersugi pada waktu tiap-tiap sembahyang. Dan nescaya aku taakhirkan sembahyang Isya’ hingga sepertiga malam.”Kata Abu ‘Isa, bermula hadits Zaid ibn Khalid ini ialah hadits Hasan lagi Shohih. Dan ada datang riwayat hadits pada bicara bab ini daripada Abi Bakr As-Shiddiq, dan baginda ‘Ali, dan Siti ‘Aisyah, dan Ibnu ‘Abbas, dan Hudzaifah, dan Anas, dan ‘Abdullah bin ‘Amru, dan ‘Abdullah bin ‘Umar Al-Khottab, dan Ummu Habibah, dan Abi Umamah, dan Abi Ayyub, dan Tamam bin ‘Abbas, dan ‘Abdullah bin Handzholah, dan Ummu Salamah, dan Watsilah, dan Abi Musa.


3. ١١٩ – MASALAH: Bersugi dan hukumnya.( Ya saudaraku ) dengan hadits di dalam Masalah ١١٨ itu menunjukkan atas bahawasanya bersugi itu tiada wajib. Telah ( berkata Imam Syafi’e ) (رحمه الله تعالى) di dalam Al-Umm, jikalau adalah ia (ya’ni bersugi atau bersiwak itu) wajib nescaya menyuruh ia (ya’ni Nabi (صلى الله عليه وسلم) menyuruh) akan umatnya (sama ada) masyaqqah (ya’ni sukar) atau tiada masyaqqah (ya’ni tiada sukar). Intaha.Dan menunjuklah atas bahawasanya (bersugi itu adalah) sunat jua, dan jikalau pada sembahyang fardhu sekalipun. Dengan ijma’
orang yang membilangkan dengan dia (iaitu soal hukum bersugi itu) pada ijma’-nya.Dan sungguhnya telah dihikayatkan oleh As-Syeikh Abu Hamid Al-Asfarani, Imam Ash-hab kita yang bangsa Iraq (ya’ni salah seorang Imam atau ‘ulama’ mazhab Syafi’e daripada bangsa Iraq), daripada Daud Adzhohiri bahawasanya mewajib ia (ya’ni Daud Dzahiri mewajibkan) akan bersugi bagi sembahyang, dan mehikayatkan dia oleh Al-Mawardi daripada Daud. Dan katanya ialah di sisinya wajib jikalau meninggal seorang akan dia (ya’ni tidak melakukan pekerjaan bersugi itu sebelum sholat) nescaya bathal sembahyangnya. Dan dihikayatkan daripada Ishaq bin Rohaweih bahawasanya katanya (ya’ni qaulnya) ialah (perbuatan bersugi itu) wajib, maka jika meninggal akan dia (ya’ni tidak melakukan pekerjaan bersugi itu sebelum sholat) oleh seorang dengan sengaja, nescaya bathol sembahyangnya.

 

Tuan-puan! Qaul-qaul di atas iaitu yang menyatakan ianya wajib sebagaimana yang dijelaskan di atas ialah qaul Daud Adz-Dzohiri, dan juga qaul Ishaq bin Rohaweih. Pada mazhab kita iaitu Mazhab Syafi’e ianya adalah sunat jua, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Syafi’e yang dinyatakan di dalam kitab Al-Umm.

 

4. ١٢٠ – MASALAH: Bersugi dan waktunya.Bermula bersugi itu disunatkan dia pada sekelian waktu. Tetapi yang lebih-lebih sunatnya ialah di dalam lima waktu:( Pertamanya ) waktu hendak sembahyang sama ada ia orang yang bersuci dengan air atau dengan tanah atau sembahyang dengan ketiadaan bersuci dengan sebab tiada didapatnya air dan debu.( Yang ke-duanya ) waktu mengambil air sembahyang.( Yang ke-tiganya ) waktu membaca Al-(قرآن).( Yang ke-empatnya ) waktu jaga daripada tidur.( Yang ke-limanya ) waktu berubah bau mulut. Maka berubahnya itu jadilah ia dengan sebab beberapa perkara. Setengahnya kerana meninggalkan makan dan minum. Dan setengah daripadanya memakan yang ialah baginya berbau busuk. Dan setengah daripadanya kerana diam yang lama. Dan setengah daripadanya kerana membanyakkan kalam (ya’ni banyak bercakap). 


5. ١٢١ – MASALAH: Bersugi bagi orang yang puasa.Adalah orang yang puasa itu tiadalah boleh ia bersugi-sugi sepanjang-panjang hari. Bahkan masa (yang mana) ia (boleh) bersugi (itu) iaitu sebelum gelincir matahari dan kemudian daripada ghurubnya (lenyapnya), ya’ni apabila telah gelincir matahari daripada rambangnya maka makruhlah ia bersugi sampai membawa kepada maghrib supaya jangan hilang bau harum puasa yang disukai (ya’ni makruh bagi orang yang berpuasa bersugi selepas tergelincir matahari hingga ke maghrib, tetapi boleh sebelum tergelincir matahari mulai dari pagi).


6. ١٢٢ – MASALAH: Bersugi dengan barang yang diperbuatkan sugi.Pada hukum syara’ mensunatkan bersugi itu dengan kayu daripada araak dan dengan suatu yang diperbuat sugi daripada barang yang menghilangkan perubahan yang berhasil ia dengan kayu sugi. Seperti perca kain yang kesat dan (أشنان).

 

Jadi, jelaslah saudara/i, sunat jika kita menggunakan kayu araak atau kayu sugi. Juga kita boleh menggunakan berus gigi yang kesat yang diperbuat daripada barang atau bahan yang suci yang menghilangkan perubahan yang dikehendaki dengan bersugi itu.Akan tetapi sunnah yang paling aula ialah menggunakan kayu araak atau kayu sugi itu sendiri sebagaimana yang diperbuat oleh baginda Rasullullah (صلى الله عليه وسلم).

 

Dan adapun menyental dengan jari sekiranya licin tiada hasil nama sugi.Dan jika ada ia kesat maka padanya tiga wajah bagi Ashhab kita. Bermula yang masyhurnya (1) tiada memadakan. Dan yang keduanya (2) memadai. Dan yang ketiganya (3) memadai jika tiada didapati lain daripadanya, dan tiada memadai jika didapati lainnya. Dan disunatkan bahawa bersugi ¤ dengan kayu sugi yang pertengahan panjangnya. ¤ Jangan ia (ya’ni kayu sugi itu) bersangatan kering yang melukakan, dan ¤ jangan ia (ya’ni kayu sugi itu) basah yang tiada menghilangkan kotor di gigi.


7. ١٢٣ – MASALAH: Bersugi dan kelakuannya.Bermula kelakuan bersugi itu disunatkan ¤ sental melintang gigi dan ¤ jangan membujurnya kerana yang demikian itu melukakan gusi dan menerbitkan darah daripadanya. Tetapi jika disental juga dengan membujur, berhasil jua nama bersugi serta makruh (jika melakukan secara demikian).Dan disunatkan pula bahawa ia melalui sugi itu diperapang gigi dan perapang gerahamnya, dan langit-langitnya akan sebagai lalu yang lembut. Dan disunatkan mula sental sugi itu membawa dari sebelah kanan.Dan jikalau tiada bersugi dan hendak memakai sugi orang yang lain tiada mengapa dengan izinnya.Dan disunatkan budak-budak itu berbiasakan bersugi supaya ber’adat dan jadi resamnya.


8. ١٢٤ – MASALAH: Berijtihad, haruskah bagi Nabi atau tiada.( Kata Imam Nawawi ) dengan hadits di dalam Masalah ١١٨ itulah menunjukkan ( dalil ) atas Nabi (صلى الله عليه وسلم) berijtihad (ya’ni melakukan ijtihad) pada barang (ya’ni pada masalah atau soal) yang tiada (keterangan) nash daripada (الله سبحانه وتعالى) (ya’ni tiada keterangan di dalam Al-(قرآن)). Maka inilah mazhab kebanyakan fuqaha’ dan Ashhab Al-Ushol, dan ialah qaul yang shohih. Kerana jikalau tiada harus atasnya ijtihad nescaya tiada berkata ia (لولا أن أشقّ على أمتى الحديث) (ya’ni) jikalau bukan kerana sebab aku fikirkan masyaqqah atas umatku. الحديث.


9. ١٢٥ – MASALAH: Bersugi dan kelebihannya.Bermula kelebihan bersugi itu amatlah banyaknya, setengah daripadanya ¤ menyuci ia akan mulut, dan ¤ meredhakan bagi Tuhan oleh menjunjung suruhan bersugi itu, dan ¤ memanaskan dan mengutukkan bagi Syaithan kerana mengerjakan ‘ibadat dan ‘amal yang tiada disukainya. ¤ Dan menyukakan bagi Malaikat oleh harum bau mulut, dan ¤ menghilangkan karat-karat gigi, dan ¤ mencerahkan mata, dan ¤ mengkifaratkan dosa, dan lainnya.


10. ١٢٦ – MASALAH: Ta’akhirkan sembahyang Isya’.Adalah menta’akhirkan (ya’ni melambatkan) sembahyang Isya’ itu telah bersalah-salahan ulama’ (ya’ni berbeza pendapat para ‘ulama’) – adakah yang lebih afdhal mensegerakannya (ya’ni menyegerakannya) ataupun melambatkan (menta’akhirkan) sembahyangnya. Dan kedua-duanya (qaul sama ada menyegerakan dan menta’akhirkan) itu dua mazhab yang masyhur bagi Salaf, dan dua qaul bagi Malik dan Asy-Syafi’e. Maka orang yang mengatakan afdhal ditaakhirkan itu berpegang pada hadits di dalam Masalah ١٢٧ itu dan hadits-hadits lainnya. Dan orang yang mengatakan afdhal disegerakan sembahyang itu berpegang dengan ‘adat ghalib (ya’ni kebiasaan) bagi Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) mensegerakannya. Inilah ringkasan perkataan Nawawi di dalam Syarh Muslim pada bab (وقت العشاء وتأخيرها).11. ١٢٧ – MASALAH: Ta’akhirkan Isya’ dan haditsnya.Sanya telah berkata Tarmidzi dalam hadits riwayat Zaid bin Khalid dalam Masalah ١١٨ itu katanya telah bersabda Nabi (صلى الله عليه وسلم)::٢٠- ﴿ … ، وَلأَخَّرْتُ صَلاَةَ الْعِشَاءِ إلى ثُلُثِ الَّليْلِ ﴾ ya’ni, dan jikalau bukan kerana masyaqqah atas umatku nescaya aku ta’akhirkan sembahyang Isya’ hingga sepertiga malam. Tetapi dengan kerana masyaqqah umatku menanti jemaah oleh kerana mereka itu ada yang letih bekerja siang hari maka hendak beristirehatkan letihnya. Dan setengahnya hendak menyempurnakan perkara di rumah dan sebagainya, maka tiada aku berati menta’akhirkan Isya’ itu bahkan bersegera aku sembahyang bersama-sama jemaah di dalam masa yang ada fadhilatnya.
Posted by Editor at 10:41:16 | Permalink | No Comments »

Tuesday, October 31, 2006

Terbalikkan tangan waktu doa tolak bala

 (Petikan drp pondoktampin.blogspot.com)
 
Satu isu lagi yang timbul yang agak menyesakkan nafas para imam dikampung-kampung bila membaca doa kenduri tahlil arwah , doa selamat, doa qunut nazilah dan sebagainya. Bila tiba ayat tolak bala biasanya tapak tangan diterbalikkan.. maka lama sudah amalan begitu telah diwarisi tanpa panjang bicara. Tiba-tiba heboh diperkatakan sebagai bida’h , dilarang Nabi , tidak ada asal usulnya.

Marilah kita lihat sedikit dalil mereka yang telah membid’ahkan amalan terbalik tangan dalam berdoa ini.

Mereka menunjukkan satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Abi Daud didalam Sunan beliau :

{Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah ta’ala , hendaklah kamu meminta dengan tapak tangan , JANGAN DIBELAKANGKAN nya, kemudian jangan kamu letakkannya bahkan hendaklah sapu kemuka , kerana yang demikian itu dijadikan oleh Allah ta’la padanya BARAKAH.} - tajzib athraf.. Sunan Abi Daud m.s. 78 juz 2 hadis no 1486.

Berdasarkan hadis ini , telah dikatakan bid’ahlah menterbalikkan tapak tangan ketika membaca doa misalnya ” Allahummad fa’ anna minl bala…”

Sepatutnya tidaklah begitu. Sebab hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujjah dikeranakan ia hadis yang bermasalah... masalahnya adalah Sulaiman bin Abdil Hamid al Bahrani. Beliau sekalipun telah dithiqahkan oleh sebahagian ulamak, tetapi telah meriwayatkan hadis tersebut dengan kaedah Wijadah yang munqotia’h. Wijadah pada asasnya tidak ada masalah, tetapi jika tiada keizinan dari Syekh yang diambil sesuatu hadis itu , maka dikatakan wijadah yang munqotia’h, yang terputus, yang sudah tentu berada dalam kategori dhoif. Sulaiman telah berkata Qaratuhu fi ashl Isma’il ya’ni Ibni Iyas, beliau tidak berkata Qaratuhu fil ashl Ismail an’hu , misalnya yang boleh difahami adanya keizinan meriwayatkan sesuatu catitan hadis. .. sila semak Syarah Abi Daud -Bazlul Majhud- Al Allmah Khalil Ahmad as-Shahranfur,juz 7 sohifah 336 , cetakan Darul Fikar Bairut.

Terdapat satu lagi hadis yang berlawanan dengan hadis perintah larangan menterbalikkan tapak tangan tersebut, juga riwayat Imam Abu Daud, tapi sayangnya juga dhoif. ” Daku melihat Rasulullah s.a.w berdoa begini , dengan perut tapak tangannya dan belakang keduanya( terbalik).” Kaedah Usul Fiqah menetapkan ” Iza tanaza’ a thasaqotha” apabila berlawanan kedua dalil (jika tidak mungkin dihimpunkan, dikompromikan) maka gugurlah kedua-duanya dari istidlal (dibuat dalil). Oleh yang demikian, disebabkan keDhaifan keduanya dan berlawanan tanpa boleh dihimpunkan , para pemuka mazhab kita telah meninggalkan hadis tersebut dari diamalkan , bahkan kembali beramal dengan qiyas atau mafhum hadis-hadis sahih berkenaan masalah ini.
Oleh itu jika kita memeriksa fatwa-fatwa para pemuka mazhab Shafie dalam soal ini , mereka tetap menghukum sunat menterbalikkan tangan ketika begitu.

Lihat saja Imam Ibnu Hajar dalam Fathul Baari, Imam Nawawi dalam Syarah Muslim, Baa Alawi dalam Bugyatul Mustarsidin dan lain. wallahu a’lam.

Satu kritikan
:
Terdapat satu hadis yang dinilai Hasan atau Jayyid riwayat at Thobarani yang boleh menjadi syahid kepada hadis Abi Daud tersebut ” Apabila kamu meminta (berdoa) kepada Allah ta’ala , hendaklah kamu meminta dengan tapak tangan , JANGAN DIBELAKANGKAN nya” , menurut al- Haithami dalam Majma’ Zawaid “Rijalnya adalah rijal yang Sohih melainkan Ammar bin Khalid, Dia thiqoh”.
Jawab:
Ini menunjjukan ikhtilaf pada Ammar bin Khalid, tapi al-Haithami tetap menilainya sebagai thiqah.
Soalnya , terdapat satu lagi hadis didalam Majma’ Zawaid , ” Adalah Nabi , apabila BERDOA, baginda menjadikan (menadahkan) tapak tangannya, apabila MEMOHON PERLINDUNGAN, baginda menjadikan (menggunakan) belakang kedua tapak tangannya “. Imam Ahmad r.a telah mentakhrijkannya dalam al-Musnad beliau, kemudian al-Haithami telah mengulas dalam Majma’nya ” Isnadnya adalah Hasan“, begitu juga Imam Sayuthi dalam Faddhu al-Wiaa’ mengatakan ianya Hasan. Walaupun masih ada kritikan pada isnadnya , kedua mereka tetaplah mengatakan hadis tersebut adalah “Hasan“.
Perkara keduanya, berdoa dan menolak bala adalah dua perkara yang berbeza.

Dalam keadaan begitu , siapakah yang jadi marji’ kita dalam keputusan ?. nak pakai rasa-rasa kita ke , nak pakai Imam Nawawi, Imam ibnu Hajar al-Asqolani yang mengatakan Ada wajahnya menterbalikkan tangan ?….

1. Al-Allamah al-Habib Ba Alawi dalam Bugyatul al- Mustarsyidin..di “Sunan al sholah”..

مسالة ك. نقل الخطيب عن الفتوى الرملى أنه لا يسن قلب الكفين فى الدعأ القنوت عند قوله وقنا شرما قضيت اذ الحركة فى الصلاة غير مطلوبة بل يكره وجزم الشوبرى و ح ل بندبه قالا لأن محل كراهة الحركة فيما لم يرد والمفهوم من ظاهر كلام ابن حجر وصريح كلام م ر أن كل داع فى قنوت الصلاة أو فى غيرها ان دعا برفع ما نزل به من بلاء جعل ظهر كفيه الى السمآء من أول القنوت الى آخره أى قنوت كان وان كان بصيغة الطلب كاللهم اسقنا غيثا مغيثا الخ لأن المراد بقولهم برفع بلاء اذا كان المقصود منه رفع البلاء ويؤيده التصريح بندب رفع اليدين فى حال الثناء مع أنه لادعاء فيه
(Ditanya kepada al-Allamah al-Muhaqqiq Muhammad bin Sulaiman al Kurdi al-Madani ): Telah menukilkan oleh Sheikh Khatib dari fatwa Sheikh Ramli , bahawa tidak disunatkan menterbalikkan dua tapak tangan ketika berdoa qunut ketika membaca “Wa qina syarrimaa qadaith “, kerana gerakan dalam sembahyang adalah tidak diperlukan bahkan dimakruhkan . Telah menjazamkan oleh al-Allamah al-Syubari dan Al-Halabi dengan SUNATNYA. Kedua mereka berkata: “Kerana tempat makruh gerakan adalah pada perkara yang tidak diwaridkan, padahal mafhum dari zahir kalam Sheikh Ibnu Hajar dan Sorih kalam Sheikh Ramli {Bahawa sesiapa yang berdoa qunut sembahyang atau selainnya , jika berdoa untuk menolak sesuatu bala yang turun , TERBALIK kanlah kedua tapak tangannya ke langit, dari permulaan qunut hingga akhirnya , pada sebarang jenis qunut, sekalipun dengan mengucapkan lafaz jenis tuntut, seperti Allamhumma ghisna.. kerana yang dimaksudkan dengan kenyataan para Fuqaha dengan kata mereka “Mengangkatkan bala , apabila menolakkan bala“}.

Posted by Editor at 12:34:07 | Permalink | Comments (1) »