Korban
1. Sunat Muakkad kifayah bagi orang Islam yang berkuasa membuat korban jika ada lebih belanja, maka ia menyembelih kambing dan lembu yang sudah berumur dua tahun. Hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud: Muliakanlah binatang korban kamu, kerana korban itu menjadi tunggangan kamu di atas titian sirat al-mustaqim kelak.
2. Niat korban itu ialah ketika mula menyembelih atau sebelum penyembelihan bermula. Niat seperti, “Saya berniat membuat korban sunat”. Harus dan boleh diberi wakil kepada seorang Islam yang mumayyiz pada berniat korban sunat dan menyembelih korban itu.
3. Jika dia berkata waktu membeli binatang atau menjawab pertanyaan orang, yang dia hendak membuat korban, maka korban itu sudah jadi wajib baginya. Termasuk korban yang wajib ialah orang yang bernazar melakukan korban. Hukum bagi orang yang menyatakan seperti ini tertegah dia daripada memakan satu apapun daripada binatang korban tersebut.
4. Tidak boleh bagi seseorang membuat korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izin dan kebenarannya. Juga bagi pihak yang mati dengan tidak ada wasiatnya dan tiada pesanannya. Jika membuat juga dengan jahil, maka tidak berlaku dan tidak sah korban tersebut.
5. Korban itu adalah sebagai tebusan diri, maka ia berkehendakkan izin daripada empunya diri. Oleh sebab itu, korban tiada dapat dibuat oleh waris ataupun bukan waris bagi si mati sekalipun korban itu wajib. Berbeza dengan sedekah bagi orang hidup atau orang mati, boleh dilakukan tanpa izin.
6. Seekor kerbau atau lembu memadai bagi tujuh korban dan seekor kambing memadai bagi satu korban sahaja. Yang lebih afdhal korban dengan seekor unta, kemudian dengan seekor lembu, kemudian dengan seekor kibasy dan kemudian dengan seekor kambing.
7. Waktu korban itu lepas matahari naik pada Hari Raya Aidil Adha sekadar berlaku dua rakaat dan dua khutbah ringkas. Berpanjangan masanya sehingga akhir hari tasyrik iaitu 13 Zulhijjah.
8. Wajib pada korban sunat itu disedekahkan sesuatu dari daging tersebut dalam keadaan mentah dan segar kepada orang Islam yang merdeka sama ada fakir atau miskin atau kaya, sekalipun seorang. Tidak memenuhi tuntutan korban bilamana daging itu dijadikan makanan (dimasak) kemudian dipanggil orang miskin memakannya atau dikirimkan makanan kepada mereka. Tidak sah bilamana yang disedekahkan itu bukan daging tetapi hanya kulit dan hati. Tidak dibenarkan memberi korban itu kepada orang kafir.
9. Haram orang yang membuat korban memakan kesemua daging korban tersebut tanpa memberinya kepada orang Islam. Boleh dia mengambilnya sedikit daripada daging korban sunat itu kerana mengambil berkatnya.