Nov 9, 2006 - Uncategorized    7 Comments

Waktu yang Dilarang Bersembahyang

(Petikan drp www.brunet.bn/gov/mufti) 

Sebagai mana dijelaskan oleh para ulama feqh berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa waktu-waktu tertentu yang ditegah melakukan sembahyang adalah seperti berikut: 

1.   Bermula dari terbit matahari sehingga matahari naik tinggi kira-kira kadar satu tombak. Satu tombak itu adalah kira-kira kadarnya tujuh hasta paras ketinggian orang biasa dan satu hasta pula ialah kira-kira menyemai dengan lapan belas inci.

2.   Waktu Istiwa iaitu waktu matahari berada di tengah-tengah langit sehingga gelincir matahari atau condong ke bawah. (Kecuali waktu istiwa pada hari Jumaat)

3.   Waktu ketika matahari berwarna kekuning-kuningan  sehingga tenggelam keseluruhan bulatan matahari itu di ufuk. 

Ketiga-tiga waktu ini ada disebutkan di dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Uqbah  bin ‘Amir al-Juhani katanya yang maksudnya : 

“Tiga waktu yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang kami bersembahyang  dan mengkebumikan mayat, iatu ketika  matahari naik sehingga tinggi, ketika matahari tegak (terpacak) sehingga gelincir dan ketika matahari hampir terbenam sehingga ia terbenam”

(Hadis riwayat Imam Muslim) 

Hadis  di atas melarang bersembahyang dan mengkebumikan mayat pada ketiga-tiga waktu berkekenaan. 

4.  Selepas sembahyang fardhu Subuh iaitu bagi orang yang telah menunaikan sembahyang Subuh sehingga terbit matahari. 

5.  Selepas sembahyang fardhu ‘Asar sehingga terbenamnya matahari. 

Diterangkan di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri yang mengatakan bahawa dia telah mendengar Rasulullah Sahallalahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya : 

“Tidak ada sembahyang selepas Subuh sehingga terbit matahari dan tidak ada sembahyang selepas Asar sehinggalah matahari terbenam”.

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Hukum Menunaikan Sembahyang Pada Waktu-Waktu Tersebut 

Menurut pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘ie bahawa hukum melakukan sembahyang pada waktu-waktu yang tersebut itu adalah makruh tahrim. (Mughni al-Muhtaj :1/128, Fathul ‘Allam: 3/114,Fiqh al-Islami wa Adillatuh:1/520 )   

Makruh tahrim sebagai mana yang dijelaskan oleh pengarang Hasyiyah I‘anah Thalibin dan pengarang Fathul ‘Allam ialah  hukum yang sabit dengan dalil yang zhanni dan boleh dibuat takwilan (andaian), berbeza dengan haram yang mana ia sabit dengan dalil qath‘ie yang tidak boleh dibuat takwilan sama ada dalil itu daripada kitab atau sunnah atau ijma‘ ataupun qiyas. (I‘anah Tahalibin:1/197, Fathul ‘Allam: 3/114) 

Ada juga pendapat ulama yang mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh tanzih. Walau bagaimanapun sembahyang itu tetap tidak shah sebagaimana kata Al-Khatib Asy-Syarbini yang maknanya : 

“Dan tidak shah sembahyang itu jika kita berpendapat bahawasanya hukumnya adalah makruh tahrim, dan begitu juga pada pendapat yang mengatakan bahawa hukumnya adalah  karahah tanzih menurut pendapat yang ashah”

(Mughni al-Muhtaj:1/129)

Menyenghajakan Mengakhirkan Sembahyang Untuk Dilakukan Pada Waktu-Waktu Makruh

Berkata pengarang Fathul Mu‘in yang maknanya : 

“Maka jika seseorang itu bermaksud (menyenghajakan untuk mengakhirkan) sembahyang yang bukan empunya waktu di dalam waktu makruh (mengerjakan sembahyang)  kerana waktu itu adalah waktu makruh (sebagaimana yang telah diketahuinya)  maka hukumnya adalah haram secara mutlak dan sembahyang itu tidak shah walaupun (mengqadha) sembahyang yang telah luput waktunya sekalipun wajib di qadha dengan segera kerana dia telah menentang hukum syara’”

(I‘anah at-Thalibin:1/199-200) 

Berlainan halnya jika tujuan mengakhirkannya pada waktu makruh itu oleh sebab  yang tertentu iaitu bukan dengan niat melakukannya pada waktu itu kerana waktu itu adalah waktu makruh seperti mengerjakan sembahyang Janazah selepas sembahyang Asar kerana bertujuan supaya ramai jamaah bersembahyang, maka itu adalah diharuskan. (Lihat Hasyiah I‘anah Thalibin:1/200) 

Tidak termasuk di dalam larangan itu bagi sembahyang yang empunya waktu seperti mengakhirkan sembahyang Asar sehingga matahari kekuning-kuningan.

 

Apakah Dia Sembahyang-Sembahyang Yang Dilarang Melakukannya itu? 

Sembahyang-sembahyang yang ditegah melakukannya pada waktu-waktu yang lima  ialah sembahyang sunat Muthlaq iaitu sembahyang yang tiada mempunyai sebarang sebab seperti sembahyang sunat Tasbih dan juga sembahyang yang bersebab tetapi sebabnya itu terkemudian. Sembahyang yang sebabnya terkemudian itu ialah seperti sembahyang sunat Ihram dan sembahyang sunat Istikharah. Sebab sembahyang sunat Ihram itu adalah kerana memakai Ihram, ia hanya berlaku setelah melaksanakan sembahyang Ihram dan Istikharah  itu pula kerana  membuat suatu perkara itu dimulakan selepas sembahyang Istikharah

Adapun sembahyang yang sebabnya terdahulu daripada sembahyangnya ataupun beriringan, maka harus dikerjakan pada waktu-waktu tegahan itu, tidak makruh dan tidak haram.  Misal sembahyang-sembahyang berkenaan ialah seperti sembahyang qadha sama ada fardhu atau sunat, sembahyang Janazah, sembahyang Istisqa’, sembahyang gerhana, sembahyang sunat yang dinazarkan, sembahyang Hari Raya, sembahyang Dhoha, sembahyang sunat Thawaf, sembahyang sunat Wudhu, sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, sujud Tilawah dan sujud Syukr dan lain-lain solat yang sebabnya terdahulu. 

Sembahyang-sembahyang ini harus untuk dilakukan pada lima-lima waktu dilarang melakukan sembahyang itu berdasarkan hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Ijma‘ para ulama. 

Menurut sebuah riwayat mengenai dengan peristiwa taubat Ka‘ab bin Malik bahawa dia telah melakukan sujud syukur selepas sembahyang fardhu Subuh sebelum lagi terbit matahari. 

Menurut sebuah hadis lagi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam brsabda kepada Bilal yang maksudnya : 

Maksudnya: “Wahai Bilal! Cuba kau ceritakan kepadaku apakah perkerjaan yang paling kau harapkan daripada perkerjaan-perkerjaan yang telah kamu lakukan dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi kasut engkau di hadapanku di syurga?” Bilal berkata: “Aku tidak melakukan suatu perkerjaan yang paling aku harapkan selain aku tidak pernah bersuci sama ada malam atau siang kecuali untuk bersembahyang dengannya, sembahyang yang ditentukan oleh Allah untukku(sembahyang sunat)”

(Hadis riwayat al-Bukhari) 

Hadis di atas menjelaskan bahawa sujud syukur harus dilakukan pada waktu yang terlarang. Begitu juga dengan sembahyang sunat wudhu setelah bersuci dengan mengambil wudhu sebagaimana yang diamalkan oleh Bilal Radhiallahu ‘anhu tidak mengira siang atau malam. Ini kerana sebab sembahyang sunat wudhu dan sujud syukur itu adalah sebab yang terdahulu bukan terkemudian. Begitulah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang lain yang mempunyai sebab yang terdahulu.

 

Hikmah Pengharaman Sembahyang Pada Waktu-Waktu Berkenaan                            

Larangan mengerjakan sembahyang pada waktu-waktu berkenaan mempunyai hikmat yang tersendiri.  

Waktu ketika matahari terbit, maka terbitnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan, lalu orang kafir bersembahyang untuknya. Waktu ketika matahari tegak (rembang) pula, ketika itulah neraka Jahannam dimarakkan dan pintu-pintunya dibuka dan waktu ketika matahari hendak terbenam, maka terbenamnya matahari itu adalah di antara dua tanduk syaitan maka orang kafir bersembahyang untuknya. Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya : 

“Ketika matahari terbit akan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik, maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila  matahari tepat berada di tengah (waktu istiwa) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang seseorang mengerjakan sembahyang”

(Hadis riwayat An-Nasaie) 

Sabda Baginda lagi yang maksudnya : 

“Maka sesungguhnya neraka Jahannam di nyalakan pada waktu tengah hari( iaitu ketika matahari berada ditengah-tengah)”

(Hadis riwayat An-Nasaie)

Adapun hikmah melarang sembahyang sunat selepas sembahyang Subuh dan Asar bukanlah disebabkan sesuatu yang wujud dalam waktu itu, sebab dari segi hukum waktu itu dihabiskan dengan kewajipan waktu, yang lebih baik daripada sunat yang sebenarnya.  

 

Lain-Lain Waktu Yang Ditegah Melakukan Sembahyang 

Selain daripada waktu-waktu tegahan bersembahyang sebagaimana yang diperjelaskan di atas ada juga beberapa waktu dan keadaan yang juga dilarang sama ada hukumnya makruh atau haram sebagaimana yang akan dihuraikan dibawah ini.

1.Ketika hendak didirikan sembahyang fardhu. 

Makruh memulakan sembahyang  sunat selepas muadzdzin memulakan iqamah sembahyang, sama ada sembahyang itu sembahyang sunat rawatib, seperti sembahyang sunat Subuh, Zuhur dan lain-lain. Sama ada dia meyakini yang dia akan sempat mendapat satu rakaat bersama-sama imam atau tidak. (Lihat Al-Majmu:4/62)  

Dalil pendapat ini hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,  Baginda bersabda yang maksudnya : 

“Apabila sembahyang didirikan, maka tidak boleh dilakukan sembahyang kecuali sembahyang fardhu.”

(Hadis riwayat Imam Muslim)

Adapun hikmah larangan bersembahyang sunat selepas iqamah dilaungkan ialah supaya seseorang itu sempat bersembahyang fardhu bersama-sama dengan imam dari awalnya, iaitu dia boleh memulakan sembahyang beriringan dengan imam. Jika dia sibuk dengan sembahyang sunat, dia akan luput takbiratul ihram bersama-sama imam. Begitu juga dia akan luput beberapa amalan sembahyang yang menyempurnakan fardhu. Fardhu adalah lebih utama dijaga supaya sempurna. Hikmah lain pula ialah adanya larangan daripada menyalahi imam. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 1 / 532)

2.Ketika Khatib Berada Di Atas Mimbar 

Sebaik saja imam duduk di atas mimbar, maka ditegah dan dilarang daripada melakukan sembahyang. Tegahan ini adalah khusus kepada mereka yang telah sedia ada hadir di masjid sedang imam telahpun duduk di atas mimbar. 

Berkata imam An-Nawawi yang maknanya :

“Berkata Ash-hab Syafi‘ieyah: Apabila imam duduk di atas mimbar adalah ditegah untuk memulakan sembahyang sunat, mereka menaqal bahawa telah ijma‘ ulama dalam perkara ini. Dan berkata Pengarang al-Hawi: Apabila imam duduk di atas mimbar adalah haram ke atas orang yang berada di dalam masjid untuk memulakan sembahyang sunat, jika waktu itu dia sedang di dalam sembahyang hendaklah dia duduk (berhenti)”(Al-Majmu‘: 4/472).

Haram mendirikan sembahyang sama ada sembahyang itu sembahyang fardhu atau sunat sekalipun qadha sembahyang itu wajib disegerakan. Umapamanya orang yang meninggalkan sembahyang Subuh tanpa sebarang uzur, maka haram dia melakukan qadha Subuh itu sejak dari waktu duduknya imam itu sekalipun sebelum dia membacakan khutbah. Atau sekalipun dia yakin yang dia boleh selesai dan sempat mengikuti permulaan khutbah, sebagaimana yang telah dii‘timadkan oleh al-Ramli dalam Fatawanya. (Fathul ‘Allam 3/111). 

Jika dilakukannya sembahyang pada ketika itu, maka tidaklah sah sembahyangnya walaupun pada ketika imam itu membacakan doa untuk sultan ataupun ketika mengucapkan taraddhi (mengucapakan Radhiallahu ‘anh apabila disebut nama-nama para sahabat) kerana semua itu dikira ada hubungannya dengan khutbah Jumu‘ah. (Fathul ‘Allam:3/111) 

Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya yang maknanya : “Tidak shah (sembahyang fardhu seperti sembahyang qadha yang baru dia teringat ketika itu sekalipun wajib disegerakannya atau sembahyang sunat) dan juga tidak shah thawaf dan sujud tilawah atau syukur menurut yang zhahir pada keduanya (thawaf dan sujud tilawah atau sujud syukur) sebab mengambil illah para ulama mengapa diharamkan sembahyang (selepas imam  duduk di atas mimbar) kerana perbuatan itu adalah menghindar atau berpaling daripada (mendengar) khutbah secara keseluruhan”

(Hawasyi Syarwani wa Ibn Qasim ‘ala at-Tuhfah:2/457)

Sepertimana diharamkan mendirikan sembahyang pada waktu tersebut, adalah juga diharamkan memanjangkan sembahyangnya. Maka, sesiapa yang pada ketika  itu (ketika  imam duduk di atas mimbar)  dia sedang sembahyang, maka  wajib dia mentakhfif (meringankan atau menyingkatkan) sembahyangnya itu.(Fathul ‘Allam:3/112) 

Maksud mentakhfifkan sembahyang itu ialah memadai melakukan perkara-perkara yang rukun dan wajib dalam sembahyang sahaja. Ada juga pendapat lain yang mendifinisikan bahawa maksud takhfif itu ialah meninggalkan tathwil (memanjangkan) menurut ‘urf (kebiasaan) dan ini adalah pendapat yang awjah sepertimana dalam syarah ar Ramli. Menurut pandapat ini adalah makruh menambah daripada apa yang  wajib sebagaimana yang dikatakan oleh al-Kurdi sebagai menjaga pendapat yang pertama itu. (Fathul ‘Allam:3/113)  

As-Saiyid Abu Bakr menyebutkan sebagaimana yang dinaqalnya daripada perkataan Ibn Qasim bahawa sayugianya jika dia memulakan sembahyang fardhu sebelum imam (khatib) duduk di atas mimbar, dan khatib itu duduk sedang dia masih di dalam sembahyangnya, jika sembahyangnya itu tinggal dua rakaat maka harus dia melakukannya (menyempurnakannya) dan wajib dia mentakhfif. Jika banyak (lebih daripada dua rakaat), maka ditegah melakukannya dan wajib dia memberhentikannya atau menukarkannya menjadi sembahyang sunat dan memadailah  melakukannya dua rakaat  di samping wajib mentakfifkannya. (Fathul ‘Allam:3/113)  

Adapun orang yang baru memasuki masjid sedang imam telah duduk atau berada di atas mimbar membaca khutbah, maka harus yakni sunat bersembahyang selagi tidak ditakuti akan luput bertakbiratul ihram bersama-sama imam sebelum dia duduk. Begitu juga orang telah duduk kerana lupa atau jahil tetapi belum  panjang jarak masanya disunatkan  bersembahyang sunat dua rakaat dengan niat tahyiyatul masjid. (Hawasyi Syarwani wa Ibn Qasim ‘ala at-Tuhfah:2/457)  

Pada pendapat mazhab Hanafi dan mazhab Maliki pula, makruh hukumnya melakukan sembahyang tahiyatul masjid pada ketika itu sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang Rahmatul Ummah.(Fathul ‘Allam:3/113).

 

Sembahyang Zohor Sebelum Imam Selesai Menunaikan Sembahyang Jumu‘ah

Antara waktu yang boleh dikira sebagai waktu yang terlarang menunaikan sembahyang ialah pada waktu imam belum selesai mendirikan sembahyang Jumaat. Akan tetapi hukum ini khusus bagi sembahyang fardhu Zohor dan bagi orang yang meninggalkan sembahyang Jumu‘ah dengan sengaja tanpa uzur syara‘.

Imam an-Nawawi menjelaskan pendapat Ash-hab Syafi‘ieyah (Ulama-ulama mazhab Syaf‘ie) bahawa bagi sesiapa yang diwajibkan ke atasnya menunaikan sembahyang fardhu Jumu‘ah, maka tidak harus menunaikan sembahyang Zohor sebelum lagi dia terluput sembahyang Jumu‘ah itu tanpa ada sebarang khilaf mengenainya kerana yang dituntut ke atasnya ialah fardhu Jumu‘ah. Jika dia menunaikan sembahyang Zohor sebelum lagi luput dan imam belum lagi selesai menunaikan sembahyang Jumu‘ah itu, maka menurut qaul jadid sembahyang Zohornya itu adalah tidak shah. Para Ash-hab juga sepakat bahawa pendapat yang shahih ialah batal sembahyang Zohornya itu. (Lihat Al-Majmu‘:4/416)

Bahkan, menta’khir sembahyang Zohor sehingga selesai solat Jumu‘ah itu adalah disunatkan ke atas orang yang mempunyai keuzuran seperti orang sakit yang berkemungkinan akan hilang uzurnya itu sebelum lagi imam selesai mendirikan solat Jumu‘ah, misalnya dia sembuh atau pulih sehingga benar-benar putus harapannya bahwa dia tidak akan sempat hadir untuk mengikuti sembahyang Jumu‘ah. Kadar waktu itu menurut pendapat yang ashah ialah ketika imam mengangkat belakangnya untuk bangun daripada rukuknya pada rakaat yang kedua. (Lihat mughni al-Muhtaj: 1/279)

 

Pengecualian Larangan Bersembahyang Pada Waktu-Waktu Larangan Itu

Dalam mazhab Syafi‘ larangan bersembahyang pada waktu-waktu tersebut dikecualikan dalam keadaan-keadaan berikut:

1.Hari Jumaat

Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa mengerjakan sembahyang ketika matahari tegak (rembang) adalah makruh tahrim. Bagaimanapun ia dikecualikan pada hari Jumaat. Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis daripada Qatadah daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya yang maksudnya:

“Bahawasanya Baginda membenci sembahyang pada tengahari (rembang) kecuali pada hari Jumaat, dan Baginda bersabda: “Sesunguhnya neraka Jahannam dimarakkan (pada saat itu) melainkan pada hari Jumaat”.

(Hadis riwayat Abu Daud)

Pengkhususan itu pula adalah umum untuk orang yang hadir ke masjid atau tidak. Berkata Al-Khatib Asy-Syarbini:

Ertinya: “Dan pada pendapat yang ashah adalah harus bersembahyang pada waktu ini (waktu matahari tegak) sama ada dia hadir sembahyang Jumu‘ah ataupun tidak”.(Mughni al-Muhtaj:1/128)

2. Tanah Haram Mekah

Mengerjakan apa saja jenis sembahyang di tanah suci Mekah adalah diharuskan tanpa mengira sebarang waktu sekalipun pada waktu yang terlarang. Pendapat ini adalah yang shahih di dalam mazhab Syafi‘ie dan disokong dengan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sabda Baginda yang maksudnya :

“Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu melarang seseorang tawaf di rumah ini (Baitullah) dan bersembahyang pada bila-bila waktu yang dia sukai, malam atau siang”

(Hadis riwayat At-Tirmidzi)

Lagipun bersembahyang di tanah haram Mekah ada tambahan kelebihan atau fadhilat, maka harus mengerjakan sembahyang di sana dalam apa-apa jua keadaan. (Mughni al-Muhtaj: 1/130)

7 Responses

  • askum,kepada pembaca.saya adalah seorang pelajar universiti.di sini saya ingin meminta pendapat yang mana ada sejumlah kecil kawan saya yang sering meninggalkan solat fardu subuh.padahal setiap pagi saya dan akak dalam bilik selalu kejutkan dia solat,tapi dia enggan bangun dengan memberi alasan bahawa dia tidur lambat sebab study sampai pagi,pada pendapat saudara/saudari apakah hukum orang yang selalu meninggalkan solat subuh dan solat waktu-waktu yang lain jarang-jarang sahaja dilakukan?

  • askum,kepada pembaca.saya adalah seorang pelajar universiti.di sini saya ingin meminta pendapat yang mana ada sejumlah kecil kawan saya yang sering meninggalkan solat fardu subuh.padahal setiap pagi saya dan akak dalam bilik selalu kejutkan dia solat,tapi dia enggan bangun dengan memberi alasan bahawa dia tidur lambat sebab study sampai pagi,pada pendapat saudara/saudari apakah hukum orang yang selalu meninggalkan solat subuh dan solat waktu-waktu yang lain jarang-jarang sahaja dilakukan?

  • azie,
    Terima kasih atas soalan. Orang sebegini kena dilihat apakah dia tidak mahu bersembahyang kerana malas atau kerana memang dia menafikan hukum wajib sembahyang. Bagi orang yang menolak hukum wajib sembahyang, maka bererti dia menolak hukum Tuhan. Orang sebegini boleh jatuh kepada hukum kafir. Sebagaimana hadis, RAsulullah menyebut: “Barangsiapa meninggalkan sembahyang dengan sengaja maka, ia menjadi kafir yang nyata.” Kata Imam Syafie, hadis ini ditujukan kepada orang yang menolak hukum sembahyang. Kalau dia tidak bersembahyang kerana malas, dia masih dikatakan fasik dan berdosa besar.

  • salam,kpd smua pmbaca dn hmba Allah yg mnjwb sln sy ..trimaksh kpd saudari Azi yg mengetengahkn sln sblm ni.tp sy cma mahu m’ingatkn saudari,mgkn saudari t’lupa tntg amalan memberi dan menulis ucpn salam.saudari menulis dgn p’ktaan ‘askum’ bkn ka pktaan itu mmberi mkna yg b’bza drpd mkna ucapan salam yg sbenar?so, take a note.
    Di sni sy ingn b’tanyakan sln, apakah yg harus dlakukan kpd seseorg yg tidak sedar (t’lajak tidur) pd wktu subuh dn t’sedar ketika siang matahari terbit.adakah dia patut meneruskan solat ketika dia bangun pg,dlm kra2 pkul 8 pg atau m’qoda pd wktu zuhur atau ada cra yg plg baik d sisi syariat Islam.
    harap d jwb sln sy..terimaksh..smga Thn mmberkati hmba Allah tg mjwb sln sy ini..

  • Menjawab soalan saudari nurhaini,
    Ada dinyatakan oleh Imam Syafie dalam kitab al-umm, dibawa hadis, Rasulullah menyebut,lebih kurang maksudnya, “sembahyanglah kamu bila kamu teringat.” Menunjukkan bila terlupa, maka sembanyang bila kita sudah teringat. Kalau tidur, dan luput waktu solat subuh, maka solat qadha lebih utama dianjurkan di waktu itu juga. Namun, kalau tidak berkesempatan, tidak salah diqadha pada waktu zohor. Moga Allah memberi membantu kita memahami ilmuNya.Firman Allah: “Dirikanlah solat untuk mengingati Aku.”

  • Salam,

    Saya agak musykil, dari mana dalil bhw A’skum itu salah. Dan jika benar, adakah kita juga tidak boleh menulis swt, saw, pbuh, r.a dsb?

    Saya juga pernah menerima email yg mengatakan jika kita menulis A’kum, ada kaitan dgn yahudi dsb. Sungguh menarik & menggusarkan sbb, adakah kita beramal menurut riwayat israiliyyat?

    Syukran.

  • Tidak ada apa masalah memendekkannya kerana maksud sebenar itu sudah diterima ramai dan difahami sebagai ucapan salam. Hal sebegini adalah masalah kecil yang tidaklah patut diperbesarkan oleh sesetengah pihak.

Leave a Reply