Puasa Qadha & Nazar di Hari Puasa Sunat
(Petikan drp bahrusshofa.blogspot.com)
Pendapat Imam Syamsuddin ar-Ramli, ulama besar yang menjadi salah satu rujukan dan sandaran kita dalam fiqh mazhab Syafi`i. Imam yang diberi penghormatan dengan digelar sebagai Imam Syafi`i ash-Shoghir. Sungguh kitabnya “Nihayatul Muhtaj” bergandingan dengan “Tohfatul Muhtaj” sentiasa ditelaah dan dijadikan rujukan oleh para ulama kita untuk mengetahui akan aqwal yang dipakai dalam mazhab Syafi`i. Diceritakan bahawa setelah selesai dikarang akan kitab “Nihayah” ini, ianya dibaca di hadapan 400 orang ulama kenamaan Mesir dan mereka membahaskannya dan menyetujuinya. Inilah menyebabkan majoriti ulama Syafi`iyyah di Mesir berpendapat bahawa pendapat yang dipandang mu’tamad apabila berlaku khilaf antara Imam Ibnu Hajar dengan Imam ar-Ramli adalah pendapat Imam ar-Ramli terutama sekali yang terkandung dalam “Nihayatul Muhtaj“. Bagi kebanyakan ulama Hejaz dan Yaman serta juga Nusantara, maka mereka lebih mengutamakan pendapat Imam Ibnu Hajar atas sebab-sebab yang tertentu. Aku nak nukilkan perkataan Imamuna Syamsuddin ar-Ramli dalam “Nihayatul Muhtaj” juzuk 3 halaman 208 - 209 di mana dinyatakan:-
Dan kalau seseorang berpuasa qadha atau nadzar atau selain keduanya pada bulan Syawwal atau pada hari seumpama hari ‘Asyura`, hasil baginya pahala puasa sunnat hari tersebut sebagaimana difatwakan dia oleh al-Waalid rhm. (yakni ayahanda Imam ar-Ramli iaitu Imam Syihabuddin ar-Ramli rhm.) mengikut akan fatwa bagi Imam al-Baarazi, al-Ashfuuni, an-Naasyiri, al-Faqih ‘Ali bin Sholeh al-Hadhrami dan selain mereka, akan tetapi tidaklah hasil baginya pahala (puasa sunnat) yang sempurna.
Berbalik kepada kitab yang jodolnya “Sabilal Muhtadin“. Pada halaman 160 - 161, al-’Alim al-’Allaamah Mawlana Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari rhm. menyatakan:-
(Soal) Jika seorang puasa qadha atau nazar atau lainnya di dalam bulan Syawwal, adakah hasil baginya puasa sunnat Syawwal atau tiada ? (Jawab) Kata Syaikh Ramli di dalam Nihayah, hasil baginya pahala sunnat Syawwal jika tiada diqasadnya mengerjakan puasa sunnat Syawwal itu kemudiannya. Dan jika diqasadnya mengerjakan dia kemudian daripada umpama qadha itu, maka tiadalah hasil baginya pahala sunnat Syawwal kerana diqasadnya akan yang demikian itu jadi shoorif (pemalingan) daripada menghasilkan dia daripada puasa Syawwal, maka pada ketika itu hendaklah dikerjakannya puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha umpamanya, jika ada lagi tinggal bulan Syawwal dan jika tiada maka sunnat mengqadha dia pada bulan Dzil Qa`edah.
(Tanbih) Jika puasa ia di dalam bulan Syawwal itu akan puasa qadha` atau puasa nadzar atau lainnya, nescaya hasil baginya pahala sunnatnya atau puasa ia di dalam umpama hari ‘Asyura` akan puasa qadha atau puasa nadzar atau lainnya nescaya hasil baginya pahala sunnatnya, seperti yang difatwa oleh Syaikh Ramli Kabir (yakni ayahanda Imam ar-Ramli) mengikut ia akan Syaikh Baarazi dan Syaikh Ashfuuni dan Syaikh Naasyiri dan al-Faqih ‘Ali bin Sholih al-Hadhrami dan lainnya. Tetapi tidak hasil baginya pahala yang sempurna yang diperaturkan atas yang mathlub (yang dituntut dalam hadits Junjungan s.a.w.)…..
Penjelasan seterusnya aku ambil dari kitab “Fathul Mu`in” karangan al-’Alim al-’Allaamah Syaikh Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibari, yang merupakan anak murid Imam Ibnu Hajar al-Haitami r.a. yang menyatakan:-
(Furu`) Berfatwa sekumpulan ulama mutakhir dengan hasilnya pahala (puasa) hari ‘Arafah dan hari-hari berikutnya (yakni hari-hari lain yang disunnatkan berpuasa seperti hari ‘Asyura`, hari Taasuu`aa`, puasa 6 hari bulan Syawwal dan sebagainya) dengan melaksanakan puasa fardhu (yakni puasa wajib seperti qadha Ramadhan, puasa nadzar atau puasa kaffarah) pada hari tersebut (yakni hari ‘Arafah dan lain-lain hari yang disunnatkan berpuasa seperti di atas). Fatwa ini bersalahan dengan apa yang di dalam kitab “Majmu`” (yakni pendapat ini tidak sejalan dengan pandangan Imam an-Nawawi dalam kitabnya itu), yang diikuti oleh Imam al-Asnawi. Di mana Imam an-Nawawi menyatakan: “Jika diniatkan akan kedua-duanya (yakni niat puasa qadha dan puasa sunnat), tidaklah terhasil baginya sesuatu apa pun daripada keduanya (yakni kedua-dua puasa yang diniatkannya itu tidak sah dan tidak memperolehi ganjaran). Guru kami (yakni Imam Ibnu Hajar) - seperti juga gurunya - menyatakan bahawa pendapat yang terpandang di sisinya (yakni yang zahir baginya) bahawa yang dimaksudkan ialah berlakunya puasa pada hari tersebut, maka ianya seperti sembahyang tahiyyatul masjid (di mana terhasil tahiyyatul masjid dengan melakukan apa jua sholat). Maka jika diniatkan dengan niat puasa sunnat, terhasilnya kedua-duanya (yakni kedua-dua yang diniatkan itu), jika tidak ( yakni tidak diniatkan puasa sunnat tersebut) maka tidaklah terhasil pahala puasa sunnat itu hanya gugur tuntutan puasa sunnat tersebut daripada dirinya.
Nukilan seterusnya dari kitab “I`anathuth Tholibin” hasyiah bagi “Fathul Mu`in“. Kitab ini adalah kitab fiqh kegemaranku karangan panutanku yang mulia Sidi Abu Bakar Syatha al-Bakri ad-Dimyathi, murid Syaikhul Islam, Mufti Baladil Haram, Sidi Ahmad Zaini Dahlan. Sidi Syatha ad-Dimyathi ulama terbilang kelahiran baitun nubuwwah. Perkataan Sidi Syatha pada jilid 2 halaman 306 kitab tersebut:
(Furu`) iaitu pada menerangkan bahawasanya puasa pada hari-hari tertentu tersebut (yakni hari-hari yang dimuakkadkan berpuasa padanya seperti hari ‘Arafah dan sebagainya) boleh dimasukkan (yakni diikutsertakan niatnya) pada puasa selainnya (yakni puasa ‘Arafah dan puasa sunnat lain yang tertentu harinya itu boleh diikutserta niatnya dalam puasa wajib seperti qadha Ramadhan atau nadzar dan sebagainya)…… Keputusan fatwa yang tersebut (yakni fatwa sekumpulan ulama mutakhir itu) menyatakan bahawasanya apabila ada atas seseorang puasa qadha yang fardhu atau puasa nadzar yang dilakukannya( yakni dipuasakannya ) pada hari-hari tertentu tersebut itu(yakni hari yang dituntut berpuasa padanya), hasillah baginya puasa fardhu yang menjadi tanggungannya itu dan terhasil juga baginya pahala puasa hari-hari yang disunnatkan berpuasa itu. Dan zahir fatwa tersebut secara mutlak tidak membezakan bahawa untuk terhasilnya pahala itu dengan sama ada diniatkan puasa sunnat itu beserta dengan puasa fardhu (yakni diikutsertakan niat puasa sunnat kepada puasa fardhu) atau tidak (yakni hanya diniatkan puasa fardhu sahaja tanpa meniatkan puasa sunnat). Dan (makna zahir ini) bersalahan dengan qawl Imam Ibnu Hajar yang menyatakan bahawasanya tidak terhasil baginya sesuatu pahala melainkan jika diniatkannya, dan jika tidak diniatkan puasa sunnat tersebut, maka tidaklah terhasil baginya pahala sunnat itu hanya gugurlah tuntutan melakukan puasa sunnat itu sahaja (yakni tidaklah dihukumkan makruh jika dia tidak melakukan puasa sunnat yang dipandang muakkad jika pada harinya itu dia berpuasa fardhu seperti qadha atau nazar atau sebagainya)………(Maka berkata) iaitu Imam an-Nawawi dalam kitab “Majmu’“….(sekiranya diniatkan keduanya) iaitu puasa sunnat dan puasa fardhu ……(tidaklah terhasil baginya sesuatu apa pun daripada keduanya)……………… Dan berkata Imam al-Asnawi: Qiyasnya ialah bahawasanya jika dia tidak berniat untuk melakukan puasa sunnat tadi terhasillah baginya puasa fardhunya, dan jika sekiranya diniatkan kedua-duanya (yakni fadhu dan sunnat) tidaklah terhasil baginya sesuatu daripada keduanya…..
Seterusnya juga satu lagi hasyiah bagi “Fathul Mu`in” yang berjodol “Tarsyihul Mustafidin” karangan al-’Allaamah al-Faadhil al-Ustaadz al-Kaamil asy-Sayyid ‘Alawi bin asy-Sayyid Ahmad as-Saqqaf yang menyatakan pada halaman 171 seperti berikut:-
Pendapat sekumpulan ulama mutakhir ini adalah dianggap sebagai mu’tamad oleh Imam al-Khathib asy-Syarbini, Imam Muhammad ar-Ramli dan ayahandanya. Maka puasa sunnat itu seperti sembahyang tahiyyatul masjid (yakni terhasil pahala tahiyyatul masjid (penghormatan kepada masjid) dengan apa jua jenis sembahyang), di sini berlaku khilaf antara mereka dengan Imam Ibnu Hajar di mana di sisi mereka terhasil pahala secara mutlak (yakni sama ada diniat atau tidak akan terhasil pahalanya) sedangkan di sisi Imam Ibnu Hajar tidak terhasil pahalanya jika tidak diniatkan.
Dalam “Bughyatul Mustarsyidin” karangan Mufti Hadhramaut, Sayyid ‘Abdur Rahman Ba ‘Alawi pada halaman 113 dinyatakan:-
Zahir hadits “dan diikut akan dia dengan 6 hari daripada Syawwal” dan hadits-hadits selainnya, tidak terhasil pahala puasa 6 tersebut jika diniatkan bersama puasa qadha Ramadhan, akan tetapi Imam Ibnu Hajar menerangkan dengan terhasilnya asal pahala puasa tersebut tetapi tidaklah kesempurnaannya (yakni pokok pahalanya terhasil tetapi pahalanya tidaklah sempurna) jika diniatkannya (yakni diniatkan bersama dengan puasa qadha itu akan niat puasa 6 tersebut), begitulah juga hukumnya dengan puasa-puasa lain seperti puasa hari ‘Arafah dan ‘Asyura`. Bahkan yang dirajihkan oleh Imam ar-Ramli, terhasil asal pahala sekalian puasa sunnat tersebut beserta dengan puasa fardhu, walaupun tidak diniatkan, selagi dia tidak memalingkan niatnya dengan satu pemalingan seperti diniatkannya qadha puasa Ramadhan dalam bulan Syawwal dan ada qashadnya untuk melakukan qadha puasa 6 tersebut dalam bulan Dzul Qaedah dan (tetap) disunnatkan berpuasa 6 walaupun dia berbuka (tidak berpuasa) dalam bulan Ramadhan (yakni tidak menyempurnakan puasanya dalam bulan Ramadhan). Dan yang dipegang oleh Imam Abu Makhramah, yang mengikut pendapat Imam as-Samhudi, bahawa tidak terhasil (yakni tidak sah) salah satu daripada keduanya jika diniatkan bersama seperti tidak sahnya niat sembahyang Zohor dengan sunnatnya, bahkan yang dirajihkan oleh Imam Abu Makhramah ialah tidak sah puasa 6 bagi sesiapa yang ada atasnya qadha puasa Ramadhan secara mutlak (yakni tanpa mengira sama ada puasa Ramadhan itu ditinggalkan dengan sengaja atau dengan uzur syar`ie).
الله أعلم





Aku merumuskan begini: Niat itu perlu kukuh dan jelas, maka diterima pendapat Imam Nawawi tidak ada hasil bagi berniat kedua-duanya sekali. Untuk itu, sesiapa yang bertembung dua tuntutan, puasa qadha dan puasa sunat, eloklah memakai satu niat sahaja. Mengambil kata Imam Ramli, di hari disunatkan berpuasa maka dengan berpuasa qadha ianya sekaligus memenuhi tuntutan puasa sunat. Jadi, eloklah hanya diniatkan qadha sahaja. Wallahua’lam.
tulis panjang sangat. nak carik camne nak niat puasa sunat n ganti je.
Niat itu dalam hati, ia bukan lafaz di lidah. Lafaz itu sunat sahaja, yang wajib adalah niat. Makanya, sesiapa atas ilmunya, mengambil pendapat membolehkan berniat kedua-dua sekaligus, qadha dan sunat, niatlah “sahaja aku puasa qadha dan puasa sunat kerana Allah.”
Untuk makluman, niat itu perlu dilakukan sebelum terbit fajar yakni sebelum subuh atau 5 minit sebelumnya (mengambil kira imsak). Ini kerana terhasil puasa qadha itu dengan niat sebelum subuh. Terhasil puasa sunat dengan niat sebelum gelincir matahari (masuk zohor). Wallahua’lam.
tiada perkara wajib yg dtg sekaligus bersama yg sunat sepertimana puasa ramadhan yg dilakukan pada isnin dan khamis tdk pula dikira sbgai puasa sunat sekaligus bersama puasa ramadhan.(wallahua’lam)