Monday, October 19, 2009

Beberapa Persoalan Fiqh Berwudhuk

1. Jika seorang yakin dirinya berwudhuk , kemudian datang seorang adil mengkhabarkan - dia disentuh oleh seorang perempuan;  atau mengkhabarkan - dia terkentut, maka wajib mengamalkan khabarnya. Justeru perlu dia mengulangi wudhuk.

2. Jika seorang yakin dirinya berhadas, kemudian datang seorang adil mengkhabarkan - dia telah berwudhuk, maka tidak harus mengamalkan khabarnya.  Justeru perlu dia mengulangi wudhuk.

Rujukan: Sabilal Muhtadin

Posted by Editor at 10:59:56 | Permalink | No Comments »

Thursday, May 1, 2008

Najis yang dimaafkan

(sumber: laman blog salman maskuri)

1. Percikan air kencing yg tidak dilihat oleh pandangan yg sederhana, samada yg mengenai tubuh, baju atau tempat. (Muktamad)

2. Air liur basi(yg keluar dr perut) bg org sentiasa keluar.(Mughnil Muhtaj)

3. Air yg terkena najis ikan selagi mana air tersebut tidak berubah.(Mughnil Muhtaj)

4. Darah yg berbaki pada tulang dan daging. Saidatina ‘Aisyah r.a berkata:
“Kami memasak pd periuk batu di zaman Rasulullah sehingga nampak kekuningan pada masakan kerana darah. Kami makan masakan itu dan baginda tidak menegahnya.” (Mughnil Muhtaj)

5. Bangkai ulat pada buah dan cuka. Boleh makan buah tersebut dgn ulat itu. (Mughnil Muhtaj)

6. Najis yg digunakan sebagai ubat sekiranya tidak ada ubat yg bersih menempati tempatnya. (Mughnil Muhtaj)

7. Bangkai binatang yg tidak mengalir darah kalau dipotong anggotanya ketika hidup seperti lebah, kala jengking, cicak, lalat, kutu dan sebagainya. Bangkai ini tidak menajiskan cecair sahaja.Kalau dibawa bangkai ini ke solat tidak sah solat tersebut.
Dalil ia tidak menajiskan cecair adalah sabda Nabi s.a.w:
“Apabila lalat jatuh pada minuman sesorang hendaklah dia menenggelamkan kesemuanya kemudian hendaklah dia mengangkatnya. Ini kerana salah satu dari kepaknya adalah penyakit.”(Hr Bukhari) -Mughnil Muhtaj-
Adapun darah dari binatang2 ini adalah dimaafkan pada baju dan badan. -Majmuk-

8. Tahi burung ditempat2 yg banyak burung. -Muktamad-

9. Tanah2 di jalan yg terkena pakaian manusia sekalipun tanah yg diyakini ia bernajis. Ini kerana susah nak dielakkan. -Muktamad-

10. Mulut budak kecil yg terkena muntah ketika menyusu puting ibunya. -Muktamad-

11. Bulu2 yg terpisah dari haiwan yg tidak halal dimakan (melainkan anjing dan babi) adalah najis. Kalau ia sedikit sperti 2 - 3 helai bulu kucing maka dimaafkan. Dimaafkan bulu2 tersebut walaupun banyak bagi org yg menunggang binatang tersebut. (I’anatut Tolibin)

12. Darah yg keluar disebabkan buasir bg org yg mengalami penyakit buasir. (I’anatut Tolibin)

13. Darah yg keluar dari binatang kecil yg tidak ada darah yg mengalir seperti nyamuk, kutu dan sebagainya. (I’Anatut Tolibin)

14. Darah bisul, jerawat dan luka sekalipun banyak. Begitu juga dengan nanah dan airnya. Dimaafkan sekalipun banyak dan mengenai pakaian dgn syarat:
1. Bukan dgn sebab perbuatan sendiri.
2. Tidak melebihi bahagian yg kena.
Kalau dgn sebab perbuatan sendiri maka dimaafkan jika sedikit sahaja. Begitu juga jika melampaui bahagian anggota yg lain. Begitu juga dimaafkan darah org lain jika sedikit. (I’anatut Tolibin)

15. Sedikit darah haid, darah hidung dan juga sedikit darah yg keluar dari semua anggota yg terbuka melainkan dr tempat yg keluar najis (sperti tahi berdarah). -I’Anatut Tolibin-

16. Darah berbekam walaupun banyak selagi masih ditempat yg dibekam. -I’anatut Tolibin-

17. Darah gusi selagimana tak ditelan dalam solat. -I’anatut Tolibin-

18- Najis yg ada pada ikan kecil. -I’anatut tolibin-

19- Najis yg ada pada mulut budak kecil dan orang gila. -I’anatut tolibin-

20- Najis yg dibawa oleh kaki lalat -I’anatut tolibin-

21- Najis yg ada di anggota terbuka (sprti mulut, hidung dll) binatang abila terkena air. -I’anatut Tolibin-

22- Najis tikus yg terkena air jika banyak tikus najis2 tikus yg terkena pada air2. -I’anatut Tolibin-

Tambahan:
Makan air liur org lain adalah tidak dibenarkan melainakan Air liur pasangan(ketika suami menyedut lidah isteri atau sebaliknya) dan air liur orang yg soleh(ambik berkat) yg sudah tidak rasa jijik.(Umdatul Mufti wal Mustafti).

Rujukan: Majmuk oleh Imam Nawawi, Mughnil Muhtaj oleh Syarbini, Muktamad oleh Muhammad Zuhaili, I’anatut tolibin oleh Syed al-Bakri dan Umdatul Mufti Wal Mustafti oleh Ahmad Abdul Bari Al-Ahdal.

Posted by Editor at 10:57:14 | Permalink | Comments (1) »

Tuesday, September 18, 2007

Wanita Hamil & Menyusu Berpuasa

Sumber: Mufti Brunei

Menurut hukum syara‘ perempuan yang hamil sekalipun hasil dari perzinaan dan perempuan yang menyusukan anak (murdhi‘) walaupun anak itu kepunyaan orang lain disebabkan menderma atau diupah, adalah diharuskan bagi mereka untuk berbuka puasa semata-mata kerana dua perkara tersebut. 

Sekalipun demikian, persoalan lain yang timbul, apakah hukum yang berbangkit dari berbuka puasa itu? Adakah diwajibkan ke atas mereka qadha atau lain hukum mengenainya? 

Dalam hal ini para fuqaha telah merumuskan hukum-hukum mengenainya. Rumusan hukum dan perbincangan mereka lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang menyebabkan mereka berbuka puasa. 

Tetapi jika mereka berbuka puasa kerana takut akan kemudaratan kepada anak yang dalam kandungan atau anak yang disusukan itu sahaja, maka wajib ke atas mereka membayar fidyah dan juga qadha pada tiap-tiap hari puasa yang ditinggalkannya itu. 

Jika mereka berbuka puasa kerana takut akan timbul kemudaratan atas diri mereka atau kedua-duanya iaitu takut ke atas diri mereka dan anak yang dalam kandungan atau anak yang disusukan, maka wajib ke atas mereka mengqadha puasa yang ditinggalkan itu tanpa wajib mengeluarkan fidyah

Jika perempuan yang hamil atau perempuan yang menyusukan anak (murdhi‘) itu sedang dalam musafir ataupun sakit, lalu mereka berbuka puasa dengan berniat rukhshah (kelonggaran) atas sebab musafir atau sakit, bukan kerana takut akan kemudaratan kepada anaknya, maka diwajibkan ke atas mereka mengqadha puasa itu tanpa membayar fidyah di hari-hari puasa yang ditinggalkan ketika musafir itu. 

Dalam keadaan musafir atau sakit, jika hamil atau yang menyusukan anak (murdhi‘) berbuka kerana takut akan kemudaratan anaknya dan bukan berbukanya itu atas rukhshah musafir atau sakit, menurut pendapat yang ashah dia juga tidak diwajibkan membayar fidyah. Sebagaimana tidak diwajibkan membayar kaffarah kepada orang musafir yang sampai ke kediamannya ketika siang hari puasa, lalu dia melakukan persetubuhan di siang hari itu bersama isterinya yang tidak berpuasa disebabkan baru bersih dari haidh atau nifas di siang hari itu juga. (Al-Majmuk: 6/272&375) 

Berkait dengan hukum ini, ingin juga dijelaskan apakah dia fidyah kerana meninggalkan puasa itu? Kepada siapakah ia diserahkan dan bagaimanakah melaksanakannya? 

Fidyah ialah denda atau tebusan yang dikenakan kepada orang Islam yang melakukan beberapa kesalahan tertentu dalam ibadah. Ia juga merujuk kepada menebus ibadah (kerana uzur dan disyariatkan), dengan memberi sedekah kepada fakir miskin berupa makanan yang mengenyangkan.(Ensiklopedia Islam 3:264) 

Adapun makna fidyah dalam hal puasa ialah bayaran denda kerana tidak berpuasa Ramadhan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana melambat-lambatkan mengqadha puasa Ramadhan sehingga masuk Ramadhan berikutnya. 

Jenis fidyah itu ialah sama seperti jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi dan yang mengenyangkan bagi sesebuah negeri seperti beras. Kadar yang patut dikeluarkan ialah satu mudd (secupak) iaitu kira-kira lima belas tahil beras bersamaan 566.85 gram.

Pihak yang berhak menerima fidyah itu ialah orang-orang fakir dan miskin sahaja. Fidyah itu boleh diberi dengan lebih dari satu cupak kepada seorang miskin berlainan dengan kaffarah, kerana ia hendaklah satu cupak sahaja kepada setiap seorang miskin hingga enam puluh orang iaitu tidak boleh dua cupak untuk satu orang miskin bagi membayar kaffarah

Membayar fidyah itu diharuskan selepas terbit fajar di hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan kerana keuzuran seperti orang yang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, orang yang terlalu tua yang tiada berdaya untuk puasa dan perempuan yang hamil dan murdhi‘. Walau bagaimana pun diharuskan juga mengeluarkan fidyah itu sebelum terbit fajar bagi hari yang dikeluarkan fidyah itu dan diharuskan juga mengeluarkan fidyah terlebih dahulu sebelum berbuka, akan tetapi hanyalah satu fidyah sahaja di hari berbukanya itu dan tidak harus mendahuluinya bagi hari kedua dia berbuka puasa. Begitu juga tidak diharuskan membayar fidyah sebelum masuk bulan Ramadhan.(Raudah At-Thalibin: 2/385) 

Posted by Editor at 03:42:27 | Permalink | Comments (3)

Thursday, May 3, 2007

Mandi & Persoalannya

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Adalah menjadi hak Allah atas setiap orang Islam, untuk mandi 1 hari dalam masa 7 hari dengan membasuh kepala serta tubuh badannya.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Syarah:
Ini adalah tuntutan Allah ke atas setiap orang Islam untuk mandi dan membersihkan badan. Walaupun dianjurkan kepada kita untuk mandi setiap hari, namun, jikalaupun itu tidak berlaku, maka hendaklah kita mencari 1 hari dalam seminggu untuk mandi. Dan mandi itu hendaklah dengan membasuh kepala serta tubuh. Hadis ini sebenarnya lebih merujuk kepada mandi sunat hari Jumaat dan telah ditetapkan oleh ulamak fekah ianya sebagai tuntutan sunat muakkad. Ada lagi lain-lain mandi yang termasuk dalam sunat muakkad seperti mandi sunat 2 hari raya dan mandi selepas memandikan mayat.

Telah bersabda Rasulullah dalam waktu yang lain, bemaksud: “Apabila seseorang dari kamu ingin menghadiri solat Jumaat maka hendaklah mandi.” Mandi sunat hari Jumaat ini hendaklah dilakukan keadaannya sama seperti mandi wajib. Maksudnya meratakan tubuh dengan air secara menyeluruh dengan membasuh juga kepala. Biarpun tidaklah diniatkan mandi wajib dan tidaklah disunatkan untuk berwudhuk sebelumnya. Namun hendaklah diniatkan sunat mandi pada permulaan air itu sampai kepada tubuh. Dan waktu mandi itu adalah selepas terbit fajar. Yang lebih utama ialah pada waktu yang menghampiri solat Jumaat. Jika sudah mandi sebelum terbit fajar atau sebelum subuh, adalah tidak memadai. Maka dilakukan sekali lagi selepasnya atau sekira-kira masa yang lapang sebelum ke masjid untuk Jumaat.

Adakah sunat mandi Jumaat itu hanya untuk orang yang diwajibkan menghadiri solat Jumaat?
Tidak. Tuntutan sunat mandi Jumaat itu sebenarnya meliputi kepada semua orang termasuk yang tidak wajib menghadiri Jumaat seperti orang musafir dan wanita.

Bagaimana pula bila bertemu dua keadaan, mandi wajib dan mandi sunat?
Saya lebih suka mengatakan bahawa cukup dengan satu kali mandi iaitu mandi wajib dan itu sudah memenuhi tuntutan mandi sunat walaupun tidak sepenuhnya. Dan niat itu adalah niat mandi wajib, bukan mandi sunat. Walaupun ada pendapat yang membolehkan digabungkan kedua-dua niat mandi itu. Saya juga lebih suka dipilih salah satu mandi itu jika bertemu dua keadaan mandi sunat hari raya dan mandi sunat Jumaat. Adalah lebih baik jika ianya terpisah kerana mandi Jumaat boleh dilakukan sekira-kira masa sebelum masuk Jumaat. Sedangkan mandi wajib tadi hendaklah disegerakan mandinya kerana tuntutan solat subuh. Tidaklah ia tertakluk kepada masa dan boleh bila-bila masa dilakukan asalkan tidak menghalang keperluan sembahyang. Dan mandi sunat hari raya juga sama kedudukannya yang perlukan penyegeraan kerana tuntutan solat sunat hari raya itu seawal pagi hari. Juga, ia boleh dilakukan sejak selepas tengah malam.

(Petikan drp http://fekah.blogspot.com)

Posted by Editor at 14:36:55 | Permalink | No Comments »

Thursday, December 21, 2006

Korban

(Rujukan: Bekas Mufti Kerajaan Brunei, Dr Hj. Ismail bin Umar Abdul Aziz)
 

1. Sunat Muakkad kifayah bagi orang Islam yang berkuasa membuat korban jika ada lebih belanja, maka ia menyembelih kambing dan lembu yang sudah berumur dua tahun. Hadis Rasulullah s.a.w. bermaksud: Muliakanlah binatang korban kamu, kerana korban itu menjadi tunggangan kamu di atas titian sirat al-mustaqim kelak.

 

2. Niat korban itu ialah ketika mula menyembelih atau sebelum penyembelihan bermula.  Niat seperti, “Saya berniat membuat korban sunat”. Harus dan boleh diberi wakil kepada seorang Islam yang mumayyiz pada berniat korban sunat dan menyembelih korban itu.

 

3. Jika dia berkata waktu membeli binatang atau menjawab pertanyaan orang, yang dia hendak membuat korban, maka korban itu sudah jadi wajib baginya. Termasuk korban yang wajib ialah orang yang bernazar melakukan korban. Hukum bagi orang yang menyatakan seperti ini tertegah dia daripada memakan satu  apapun daripada  binatang korban tersebut.

 

4. Tidak boleh bagi seseorang membuat korban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izin dan kebenarannya. Juga bagi pihak yang mati dengan tidak ada wasiatnya dan tiada pesanannya. Jika membuat juga dengan jahil, maka tidak berlaku dan tidak sah korban tersebut.

 

5. Korban itu adalah sebagai tebusan diri, maka ia berkehendakkan izin daripada empunya diri. Oleh sebab itu, korban tiada dapat dibuat oleh waris ataupun bukan waris bagi si mati sekalipun korban itu wajib. Berbeza dengan sedekah bagi orang hidup atau orang mati, boleh dilakukan tanpa izin.

 

6. Seekor kerbau atau lembu memadai bagi tujuh korban dan seekor kambing memadai bagi satu korban sahaja. Yang lebih afdhal korban dengan seekor unta, kemudian dengan seekor lembu, kemudian dengan seekor kibasy dan kemudian dengan seekor kambing.

 

7. Waktu korban itu lepas matahari naik pada Hari Raya Aidil Adha sekadar berlaku dua rakaat dan dua khutbah ringkas. Berpanjangan masanya sehingga akhir hari tasyrik iaitu 13 Zulhijjah.

 

8. Wajib pada korban sunat itu disedekahkan sesuatu dari daging tersebut dalam keadaan mentah dan segar kepada orang Islam yang merdeka sama ada fakir atau miskin atau kaya, sekalipun seorang. Tidak memenuhi tuntutan korban bilamana daging itu dijadikan makanan (dimasak) kemudian dipanggil orang miskin memakannya atau dikirimkan makanan kepada mereka. Tidak sah bilamana yang disedekahkan itu bukan daging tetapi hanya kulit dan hati. Tidak dibenarkan memberi korban itu kepada orang kafir.

 

9. Haram orang yang membuat korban memakan kesemua daging korban tersebut tanpa memberinya kepada orang Islam. Boleh dia mengambilnya sedikit daripada daging korban sunat itu kerana mengambil berkatnya.

Posted by Editor at 09:45:03 | Permalink | No Comments »

Friday, December 15, 2006

Puasa Hari Arafah

(Diambil dari buku “Umat Bertanya Ulama Menjawab” tulisan dari KH.Drs.Ahmad Dimyathi Badruzzaman, dosen Fakultas Dakwah STIDA Al-Hamidiyah)

Puasa hari Arafah (tanggal 9 Dzul Hijjah), para ulama memfatwakan bahwa puasa pada hari itu hukumnya sunat, bahkan termasuk sunat muakkadah. Dasar hukumnya sebagaimana hadis Rasulullah Saw:

Dari Abi Qatadah r.a., ia berkata Rasulullah Saw. telah bersabda: “Puasa hari Arafah itu dapat menghapuskan dosa dua tahun, satu tahun yang telah lalu dan satu tahun yang akan datang.” (Riwayat Jama’ah kecuali Bukhari dan Tarmidzi)

Kecuali bagi orang yang sedang mengerjakan ibadah haji, maka tidak disunatkan berpuasa, sesuai dengan sabda Nabi Saw. dibawah ini:

“Dari Abi Hurairah r.a., ia berkata, “Rasulullah Saw. telah melarang puasa pada hari Arafah di Padang Arafah.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Nasa-i, dan Ibnu Majah)

Kedua hadis tersebut antara lain terdapat dalam kitab-kitab:
- Fiqhus Sunnah, karya Sayid Sabiq, juz I, halaman 380
- At-Targhib Wat-Tarhib, karya Al-Hafizh Al-Mundziri, juz II, halaman 111-112

Begitu pula para ulama, mereka memfatwakan bahwa puasa sepuluh hari (kecuali hari Id) dari awal bulan Dzulhijjah hukumnya sunat, berdasarkan hadis berikut:

“Dari Siti Hafshah r.a. ia berkata, ada empat macam yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah Saw.: Puasa Asyura (tanggal 10 Muharram), puasa sepuluh hari (di bulan Dzulhijjah), puasa tiga hari pada setiap bulan dan melakukan salat dua rakaat sebelum salat subuh.” (Riwayat Ahmad dan Nasa-i dalam kitab Fiqhus Sunnah, juz I, halaman 380; dan Sunan Nasa-i, juz IV, halaman 220)

Tidak ada satu hadis pun yang jelas dan tegas menyatakan sunat berpuasa pada hari Tarwiyah (tanggal 8 Dzul Hijjah). Namun perlu kita ketahui, banyak fuqaha yang memfatwakan bahwa puasa pada hari Tarwiyah itu hukumnya sunat berdasarkan alasan berikut:  Atas dasar ihtiyath (berhati-hati) dan cermat dalam mengupayakan mendapat fadilah puasa Arafah yang begitu besar. Syekh Zainuddin Al-Malibari dalam kitabnya Fathul Mu’in berkata termasuk sunat muakad.

 

Posted by Editor at 10:47:31 | Permalink | Comments (2)

Wednesday, December 13, 2006

Aqiqah

(Rujukan: Bekas Mufti Kerajaan Brunei, Dr Hj. Ismail bin Umar Abdul Aziz)
 

 

 

1. Hukum aqiqah itu adalah sunat muakkad. Tujuan aqiqah itu supaya anak menjadi subur dengan lebih sempurna dan anak itu diharapkan ia memberi syafaat kepada ibu bapanya  pada hari Kiamat.

 

2. Dinukilkan oleh Ibnu Hajar, hendaklah berbilang-bilang jamuan dengan sebab berbilang isteri, sebagaimana berbilang-bilang aqiqah dengan berbilang-bilang anak. Imam Ramli berkata: Memadai satu jamuan dengan kerana aqad nikah dengan beberapa isteri itu. Jamuan beranak disebut aqiqah, jamuan akad dinamakan imlak, jamuan dukhul dinamakan walimatul urus.

 

3. Wali anak hendaklah membuat aqiqah dengan menyembelih kambing. Yang sempurnanya, dua ekor bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Memenuhi tuntutan sunat jika sekadar menyembelih seekor kambing bagi anak lelaki. Lembu atau kerbau itu boleh diperbuat aqiqah dan seekornya bagi 7 anak. Seekor unta atau seekor lembu atau seekor kerbau menyamai dengan 7 ekor kambing.

 

4. Belanja membeli aqiqah itu dikeluarkan dari harta orang asal keturunan kanak-kanak itu iaitu bapa dan datuknya. Tiada sah dan tiada harus dikeluarkan aqiqah dari harta anak itu.

 

5. Afdhal dilakukan aqiqah itu pada hari ketujuh dari hari beranak. Boleh diperbuat kemudian daripada itu hingga  baligh anak tersebut. Apabila anak itu baligh, maka anak itu sendiri berbuat aqiqah untuk dirinya jika belum ada aqiqah dibuat untuknya.

 

6. Imam Ibnu hajar dalam Tuhfah berkata tiada boleh disekalikan udhiyyah (korban) dengan aqiqah, begitu juga aqiqah dengan walimatul urus. Berlainan dengan Imam Ramli yang membenarkan kedua-duanya itu disekalikan. Adapun seekor kerbau itu boleh diperuntukkan 1/7 daripadanya kerana aqiqah, 6/7 untuk walimatul urus dengan diniatkan.

 

7. Jamuan aqiqah itu dimasakkan daging dengan barang yang manis seperti anggur, madu, kismis dan gula. Tulang-tulang kambing aqiqah itu dilarang untuk dipecah-pecahkan dan tidak sah dijualkan aqiqah tersebut.

 

8. Yang utama, masakan tersebut dikirimkan kepada fakir miskin ke rumah masing-masing. Namun, boleh juga dipanggil mereka ke rumah untuk dijamukan. Boleh juga diberi makan kepada orang kaya atau dijamu dalam majlis kahwin tetapi tidak afdhal.

 

9. Seeloknya diberi nama sebelum disembelih aqiqah. Sunat dicukurkan rambut anak itu lepas disembelih aqiqah itu.  Sekalipun anak itu gugur setelah sampai tempoh ia ditiupkan roh ke atasnya. Yang memberi nama anak itu ialah orang yang berhak berkuasa di atas anak itu seperti bapa dan datuk anak.

Posted by Editor at 13:56:24 | Permalink | Comments (2)

Saturday, December 9, 2006

Susunan Saf Dalam Solat Berjemaah

(Petikan daripada Akhbar Didik) 

1. Imam lelaki bersama seorang makmum lelaki

- Makmum berdiri di sisi sebelah kanan imam.

2. Imam bersama seorang makmum perempuan

- Makmum berdiri di sisi sebelah kiri imam.

3. Imam bersama seorang makmum lelaki dan seorang makmum perempuan

- Makmum lelaki di sisi sebelah kanan imam dan makmum perempuan pula berdiri di belakang makmum lelaki menepati kedudukan imam.

4. Imam bersama ramai makmum lelaki dan perempuan

- Imam berdiri di tengah bahagian hadapan makmum lelaki dan makmum perempuan di belakang makmum lelaki.


5. Imam bersama makmum seorang lelaki dewasa, seorang kanak-kanak lelaki (belum mumaiyiz), seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan (belum mumaiyiz).

- Lelaki dewasa di sisi sebelah kanan imam

- Kanak-kanak lelaki di belakang lelaki dewasa menepati kedudukan imam

- Perempuan dewasa di belakang kanak-kanak lelaki

- Kanak-kanak perempuan di belakang perempuan dewasa

6. Imam bersama ramai makmum lelaki dewasa, kanak-kanak lelaki (belum mumaiyiz), perempuan dewasa dan kanak-kanak perempuan (belum mumaiyiz)

- Lelaki dewasa di belakang imam

- Kanak-kanak lelaki (belum mumaiyiz) di belakang lelaki dewasa

- Perempuan dewasa di belakang kanak-kanak lelaki (belum mumaiyiz)

- Kanak-kanak perempuan (belum mumaiyiz) di belakang perempuan dewasa


Posted by Editor at 08:06:34 | Permalink | Comments (1) »

Tuesday, November 28, 2006

Kanak-kanak Dalam Saf Orang Dewasa

(Petikan drp www.brunet.bn/gov/mufti/

Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah mengenai hukum kanak-kanak lelaki yang belum baligh dan belum berkhatan berada di dalam saf orang lelaki dewasa. Adakah kehadiran mereka itu merosakkan saf atau fadhilat sembahyang berjemaah dan adakah boleh dikeluarkan mereka itu dari saf tersebut supaya diisikan tempatnya itu oleh lelaki dewasa?


 

Dalam kumpulan fatwa Imam Ibnu Hajar, menurut qaul yang muktamad, bahawa kanak-kanak lelaki apabila mereka mendahului orang-orang yang baligh ke saf yang pertama, tiada harus (tidak boleh) bagi orang-orang yang baligh itu mengeluarkan mereka dari saf yang pertama itu, kerana kanak-kanak lelaki itu adalah jenis orang lelaki.

 

Seterusnya Ibnu Hajar menerangkan bahawa bukanlah maksud kanak-kanak lelaki datang dahulu itu sebagai kehadiran mereka terlebih dahulu ke masjid daripada orang dewasa tetapi maksudnya mereka hanya mendahului pada saf yang pertama sekalipun sebelum didirikan sembahyang. Maka pada ketika itu tidaklah boleh diketepikan kanak-kanak lelaki dari saf mereka untuk diberikan kepada lelaki dewasa.

 

Daripada perkataan Imam Ibnu Hajar di atas ini, apabila kanak-kanak lelaki datang ke masjid dan dia telah duduk di dalam mana-mana saf sembahyang dengan tujuan hendak sembahyang mengikut imam, sama ada sembahyang Jumaat atau sebagainya, maka orang dewasa tidak boleh mengalih dan mengeluarkan kanak-kanak lelaki tersebut dari saf-saf mereka itu.

 

Adapun hukum kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan yang tidak diketahui adakah dia membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau tidak, apabila dia berada dalam saf tersebut, adakah ianya merosakkan saf dan adakah sedemikian itu menghilangkan fadhilat pahala berjemaah, berkata Al-Imam Al-Sayyid Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya di dalam kitab Bughyah Al-Mustarsyidin:

 

“Jika ada di dalam saf sesiapa yang tidak sah sembahyangnya seperti ada najis padanya, atau ada lahn (seperti tidak betul bacaan Fatihahnya) atau ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian, maka tiadalah luput fadhilat (tidak hilang kelebihan pahala) berjemaah ke atas orang-orang yang berdiri di belakang mereka, sekalipun lebih jauh saf mereka dari saf orang yang sah sembahyangnya, sekadar boleh muat seorang berdiri pada masalah yang pertama (iaitu ada najis padanya atau ada lahn) dan lebih jauh dari tiga hasta pada masalah yang kedua (iaitu ada pada saf yang di hadapan orang yang berkeadaan sedemikian).

 

Kecuali, jika orang-orang yang berada pada saf-saf di belakang itu mengetahui akan batal sembahyang orang yang tersebut itu dan sembahyangnya itu tidak sah pada pendapat ulama yang sah bertaklid padanya dan mereka berkuasa mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka itu dari saf-saf mereka dengan tiada takut (apa-apa kemudaratan) ke atas diri atau harta atau nama (apabila mereka mengeluarkan orang-orang yang tidak sah sembahyang mereka dari saf-saf mereka itu). Kerana fadhilat pahala berjemaah boleh diperolehi dengan mengikut seorang imam yang mana makmum tidak mengetahui imam itu berhadas (padahal dia berhadas).

 

Adalah lebih utama tidak mengetahui akan batal sembahyang orang-orang yang dia tidak ada sangkut paut di antaranya dan di antara orang yang batal sembahyangnya itu, dan kerana berjauh-jauh (dari satu saf kepada satu saf) dengan ada suatu keuzuran seperti panas (seperti di Masjid Al-Haram ada saf jauh-jauh dan putus kerana panas terik matahari pada tempat-tempat lapang), tidak meluputkan fadhilat berjemaah. Maka begitu juga di sini (makmum yang batal sembahyangnya berada dalam saf-saf sembahyang) dan kerana dia berhak di tempat itu dengan sebab dia telah datang dahulu serta taklidnya yang mengatakan sah sembahyang dan begitu juga jika dia tidak bertaklid (kepada mana-mana ulama) di atas asas bahawa orang awam itu tiada mempunyai mazhab.

 

Maka dari itu diketahui, bahawa barangsiapa telah berada di dalam saf, tidak harus (tidak boleh) diketepikan dia itu dari safnya, melainkan jika diketahui sembahyangnya batal dengan ijma‘ ulama, atau dia beriktikad bahawa sembahyang orang itu rosak ketika dia mengerjakan sembahyangnya itu.”

 

Maka jika didapati kanak-kanak lelaki yang dibawa oleh bapanya duduk dalam mana-mana saf sembahyang dan tidak diketahui kanak-kanak itu sudah berkhatan atau belum, dan tidak diketahui sama ada dia telah membersihkan qulfahnya (kulupnya) atau belum, maka menurut pendapat atau fatwa Al-‘Allamah Al-Sayyid Abdullah bin Yahya yang di atas ini perkara itu tidak meluputkan fadhilat sembahyang berjemaah dan sah sembahyang orang yang berada dekat dengan kanak-kanak itu di dalam saf-saf itu.

 

Posted by Editor at 10:21:41 | Permalink | Comments (4)

Tuesday, November 21, 2006

Keraguan Dalam Berwudhuk

Erti ragu menurut Imam Nawawi, “Adalah perlu diketahui menurut aliran mazhab Syafie, dalam masalah air, hadas dan sebagainya ialah rasa takut atau keliru antara ada sesuatu dengan tidak adanya”. Dalam erti kata lain, ragu ialah syak, antara ya atau tidak, mengenai sesuatu hal.

1) Pada usul fekah, keraguan itu hendaklah dihilangkan.

2) Orang yang sedang berwudhuk, asasnya jika ragu pada hal yang diwajibkan, wajib mengulang, dan jika ragu pada hal yang disunatkan, maka sunat mengulang.

3) Orang yang sedang berwudhuk, kemudian datang ragu dalam melakukan basuhan fardhu sebelumnya, maka wajib mengulang wudhuknya.

4) Orang yang sedang berwudhuk ragu terhadap bilangan basuhan atau kerataan basuhan, sunat mengulangnya.

5) Adapun ragu yang datang setelah sempurna atau selesai wudhuknya, maka tiadalah ia mempengaruhi dan tidak perlu kepada pengulangan. Ini termasuk jika ragu dalam berniat.

6) Tidak masuk sebagai yang dimaksudkan dengan ragu apabila telah yakin meninggalkan sesuatu yang fardhu. Yakin sebegini membawa kepada pengulangan wudhuk.

:: Hal-hal seperti ini telah dirujuk kepada Kitab Fathul Muin (Zainuddin Al-Malbari) & Asbahu Wa An-Nazair (Imam Sayuthi).

Posted by Editor at 08:15:51 | Permalink | Comments (1) »